Pep Guardiola memuji usaha yang dilaksanakan Ed Woodward di Manchester United dan mengkritik sikap tidak senonoh peminat sendiri dalam perlawanan di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Manchester City tunduk 0-1 kepada musuh setempat itu tetapi masih layak ke final Piala Liga Inggeris (EFL) berikutan kemenangan 3-2 secara agregat.

Rakaman adegan dalam perlawanan itu, yang tersebar di media sosial, menunjukkan peminat City memberi isyarat pesawat -- merujuk kepada bencana udara Munich -- ke arah penyokong United hingga mendorong mereka mencabut dan melemparkan kerusi.

Pengurus City itu turut mengutuk tindakan dan individu yang terlibat dalam serangan ke atas rumah Ketua Eksekutif United, Woodward.

"Saya tidak menggemarinya," katanya.

"Saya tidak suka dengan kejadian yang berlaku di rumah Ed Woodward. Anda lihatlah skuad United ketika ini, mereka benar-benar bagus.

"Jadi itu bukanlah caranya. Apabila anda bercakap tentang apa yang berlaku (penyokong City membuat isyarat pesawat), saya tidak pasti mengenainya dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ia satu kelakuan yang tidak manis.”

Jaringan Nemanja Matic dalam babak pertama menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan dalam pertemuan separuh akhir kedua itu, namun tuan rumah yang kerap melepaskan peluang berharga tetap layak hasil bekalan 3-1 dalam pertemuan pertama.

Kemenangan United di Stadium Etihad itu berlaku buat kali kedua dalam tempoh beberapa bulan, justeru Guardiola melabel rakan sejawatannya itu, Ole Gunnar Solskjaer, sedang membawa The Red Devils ke arah yang tepat.

"Saya suka corak permainan mereka. Saya pernah katakan ketika kami kalah di sini (bulan lalu), tidak banyak yang mereka perlu perbaiki. Kualiti pemain mereka di barisan depan sangat luar biasa," kata pengurus kelahiran Catalan itu.

"Apabila kami tewas kepada mereka di gelanggang sendiri, saya berpendapat bahawa mereka sedang berusaha untuk merealisasikan tuntutan pengurus dan saya fikir ia berfungsi.

"Mungkin mereka tidak tekal dalam kesemua perlawanan. Mungkin mereka sedikit bergelut ketika menghadapi kunjungan pasukan gemar bertahan. Tetapi saya menyukai corak permainan dan kualiti mereka.

"(Victor) Lindelof yang saya pantaunya sejak di Benfica lagi merupakan pemain yang luar biasa. Harry Maguire adalah salah seorang pertahanan tengah terbaik di dunia. Penggempur mereka pula sangat pantas. Matic dan Fred juga adalah pemain yang luar biasa, Matic adalah pemain yang memukau.

"Saya fikir jika anda berikan mereka masa, mereka akan kembali kepada apa yang telah dilakukan United selama bertahun-tahun dulu."

Editor: Shaiful Shamsudin