Pep Guardiola berasa "yakin" tatkala Manchester City bersiap sedia untuk mengetahui nasib mereka dalam rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap larangan penggantungan selama dua tahun yang dijatuhkan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Badan pentadbir bola sepak Eropah itu menjatuhi hukuman tersebut pada Februari lalu selain mengenakan denda sebanyak €30 juta (RM144.8j) selepas mendapati City melakukan "pelanggaran serius" berhubung peraturan "Kewangan Fair Play".

The Citizens segera mengajukan rayuan mereka kepada CAS dan penilaian mengenai kes mereka itu akan diketahui melalui satu sidang video.

Tempat pasukan bimbingan pengurus kelahiran Sepanyol itu dalam saingan Eropah sudah pun terjamin dengan menguasai kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, malah mereka berpeluang menambah koleksi pencapaian menerusi Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL) memandangkan Piala Liga Inggeris (EFL) sudah pun berjaya dipertahankan.




Keputusan hari ini mampu membawa kesan yang besar buat masa depan dan perancangan jangka pendek kelab itu, malah Guardiola optimis keputusan akan memihak kepada skuad yang berpangkalan di Manchester berkenaan.

Ketika ditanya apakah dia mampu melelapkan mata sebelum keputusan itu diumumkan, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu berkata kepada wartawan: "Saya akan tidur kerana saya tidak dapat mengubah apa-apa (mengenai keputusan itu). Saya suka melakukan sesuatu tetapi kali ini ia di luar jangkauan saya.

"Saya yakin dengan kelab ini, saya tahu alasan dan hujah mereka. Kami perlu menunggu, saya tahu ada banyak kelab dalam EPL ini juga begitu tetapi kami akan menunggu.

"Perkara ini sudah lama terjadi, mungkin 90 peratus daripada petugas dan kakitangan di belakang tabir kelab ini sudah tiada, tetapi kami akan melihat dan menghormati keputusannya.

"Saya berasa yakin dengan apa yang telah dilakukan kelab ini untuk kami dibenarkan beraksi dalam UCL musim depan."