Pep Guardiola mempersoalkan kemampuan Manchester City sama ada mampu bersaing dengan Liverpool, Barcelona dan Real Madrid.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool, selepas mengalami kekalahan 1-2 kepada musuh setempat, Manchester United, di laman sendiri semalam.

Pertahanan City dirobek jentera serangan United dalam 30 minit pembukaan yang menyaksikan Marcus Rashford dan Anthony Martial meletakkan pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu 2-0 di depan.

Nicolas Otamendi kemudian menanduk masuk gol di penghujung perlawanan, namun City gagal mengelak kekalahan.

Walaupun mendominasi bola sepak Inggeris sejak dua musim lalu dan mempamerkan skuad yang luar biasa, Guardiola mencadangkan pasukannya itu mungkin tidak dapat menyaingi kelab-kelab gergasi di Eropah.

"Inilah tahap yang kami sedang hadapi, iaitu dengan Liverpool, Manchester United, Barcelona, ​Real Madrid dan Juventus," katanya kepada pemberita.

"Mereka adalah pasukan yang perlu kami saingi dan kenyataannya, kami mungkin tidak dapat bersaing dengan mereka.

"Baiklah, kami perlu memperbaiki dan menerima hakikatnya dan maju ke hadapan. Saya boleh ke sini dan mengadu tentang banyak perkara, saya ada sebab untuk mengeluh.

"Mungkin kami memerlukan kelab ini untuk menerima realiti yang dihadapi ketika ini dan bertambah baik."

Walaupun kelebihan besar dimiliki skuad asuhan Jurgen Klopp itu, Guardiola belum berhasrat untuk mengibarkan bendera putih dalam misi memburu gelaran Liga Perdana yang ketiga berturut-turut.

"Realitinya, kami 14 mata di belakang ekoran kesilapan yang dilakukan, kualiti yang dimiliki pencabar, terutama atas perkara-perkara yang di luar kawalan kami. Itulah realitinya," katanya.

"Tetapi kami perlu meneruskan usaha. Kami masih pada awal Disember, kami mempunyai kejohanan lain lagi untuk dihadapi dan perlawanan lain untuk berjuang dan memperbaiki prestasi kami.

"Mungkin ia akan membantu kami untuk masa depan kelab, mungkin kami memerlukannya demi masa depan dalam usaha menjadi lebih baik lagi."

Setelah dipilih untuk mengisi pertahanan kiri dalam kemenangan 4-1 ke atas Burnley pada Selasa lalu, Angelino sekali lagi terbabit dalam 'derby' Manchester.

Guardiola berkata pemain Sepanyol itu semakin selesa di kedudukan itu buat masa ini sambil mendedahkan bahawa Benjamin Mendy masih memerlukan lebih banyak masa untuk pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan yang membelenggunya sejak dua tahun lalu.

"Pada masa ini Angelino berasa selesa dan bermain lebih baik daripada yang pemain lain di kedudukan itu," jelasnya.

Ditanya apakah yang diperlukan Mendy, Guardiola berkata: "Masa. Selepas dua tahun tercedera, ia bukan boleh sekadar petik jari sahaja untuk membina kecergasan dalam tempoh seminggu, kemudian anda boleh beraksi. Dia perlukan masa."