Guardiola: Manchester City sedang kembali dapatkan rentak kemenangan

Oleh Muzaffar Musa 4 Januari 2021 818
Guardiola: Manchester City sedang kembali dapatkan rentak kemenangan
Pep Guardiola berasakan Manchester City sedang kembali ke tahap prestasi yang sama ketika menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Chelsea awal pagi tadi.

Biarpun turun tanpa enam pemain utama yang dijangkiti koronavirus, City memperoleh kemenangan 3-1 di Stamford Bridge bagi merakamkan kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Ketiga-tiga gol pasukan pelawat itu dijaringkan dalam babak pertama dengan Kevin de Bruyne membantu gol Phil Foden dan turut mencatat nama selaku penjaring selepas Ilkay Gundogan membuka jaringan awal.

Ia merupakan kemenangan pertama City musim ini ke atas pasukan enam teratas musim lalu selepas lima percubaan dan kini hanya dibezakan empat mata dengan pasukan teratas dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Dan selepas dikecewakan musim 2019-20 dan permulaan perlahan kempen kali ini, Guardiola dapat melihat petanda seakan-akan prestasi lama City ketika menumbangkan Chelsea.
 
"Ia pasukan yang sama, pengurus yang sama, staff belakang tabir yang sama," katanya kepada Sky Sports.

"Pembantu jurulatih saya ada sedikit perubahan tetapi pemainnya masih sama dan ideanya juga masih sama.

"Cara bagaimana mereka memenangi liga dan gelaran dan perkara lain adalah cara yang sama kami bermain hari ini. Tempo yang kami hilang sebelum ini, kami telah temuinya hari ini," katanya.

Sejak tewas 0-2 kepada Tottenham pada November lalu, City telah memenangi lima daripada tujuh perlawanan liga selain seri dalam dua lagi perlawanan.

Hanya Manchester United, yang akan berdepan City dalam separuh akhir Piala EFL, Rabu ini, telah mengutip lebih banyak mata (20) berbanding The Citizen (17) sepanjang tempoh itu.

Keputusan terbaru itu dimenangi tanpa penyerang utama dengan Guardiola meletakkan De Bruyne, Raheem Sterling, Foden dan Bernardo Silva bersilih ganti sebagai penyerang tengah.

"Pemain amat cemerlang dalam perlbagai cara, terutama ketika bersama bola. Kami tidak boleh bermain seperti pasukan lain, kami perlu bermain dengan rentak kami dan menyerang pada waktu yang tepat.

"Kami memenangi gelaran dengan cara itu, dengan lebih bersabar. Kami sedikit kehilangan tempo itu dan kembali mendapatkannya hari ini.

"Keputusannya amat cemerlang di Stamford Bridge tetapi cara kami bermain amat hebat. Anda tidak boleh memenangi gelaran tanpa bermain seperti itu.

"Chelsea merupakan salah satu pasukan terkuat walaupun mereka agak bergelut dalam beberapa perlawanan lalu.

"Tetapi anda lihat kualiti pemain mereka di bangku simpanan. Kami mempunyai perancangan, kami mencuba untuk bermain seperti waktu lalu dan ia berjaya," katanya lagi.


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen