Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan dia lebih gembira daripada sebelumnya dengan permulaan musim ini, yang menyaksikan pasukannya kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tujuh perlawanan.

Gabriel Jesus memadamkan jaringan penalti Mohamed Salah untuk mengikat juara bertahan, Liverpool, 1-1 dalam perlawanan di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Kevin De Bruyne gagal menyudahkan sepakan penalti yang bermakna City perlu berkongsi mata buat kali ketiga dalam saingan domestik musim ini dan hanya mengutip 12 daripada 24 mata yang ditawarkan.

Bagaimanapun, Guardiola melihat pandangan yang lebih luas selepas merekodkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan layak ke suku akhir Piala EFL selepas tewas 2-5 kepada pendahulu EPL, Leicester City, September lalu.

Ditanya sama ada dia gembira dengan kedudukan pasukannya, Guardiola berkata dalam sidang media selepas perlawanan: "Amat gembira, mungkin lebih gembira daripada sebelum ini.

"Daripada 12 perlawanan, kami hanya tewas sekali dalam kesemua kejohanan kerana (ketika berdepan Leicester) kami membenarkan tiga sepakan penalti.

"Kami masih belum belajar. Harap-harap ia kali terakhir kami memberikan sepakan penalti seperti ini kepada lawan.

"Tetapi saya amat gembira. Saya melihat situasi pemain di bilik persalinan setiap hari, itulah sebabnya.

"Harap-harap pemain yang terlibat dalam tugasan antarabangsa dapat pulang tanpa kecederaan dan kami dapat meneruskannya," katanya.

Jentera serangan City tidak mencapai standard seperti kebiasaan dalam saingan musim ini dengan kecederaan penyerang seperti Sergio Aguero dan Jesus menjadi faktor utama.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Brazil itu sudah menjaringkan tiga gol daripada tiga penampilannya musim ini selepas turut menjadi penjaring ketika City menewaskan Olympiacos 3-0 minggu lalu.

"Dia (Jesus) amat bagus. Saya tidak jangka dia dapat bertahan selama 90 minit tetapi dia berjaya. Fizikal dan rentaknya amat kuat.

"Dia membantu kami, mejaringkan gol yang hebat -- gol daripada seorang penyerang. Ia bagus untuknya," tambahnya.