Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyatakan komitmen penuh bersama pasukannya walaupun mendedahkan keinginan untuk mendapatkan jawatan di peringkat antarabangsa pada masa depan.

Pengurus City itu menikmati kejayaan selaku ketua jurulatih sewaktu mengemudi Barcelona, Bayern Munich dan kini di Etihad.

Topik mengenai Guardiola menjadi perhatian di Universiti Liverpool minggu ini, di mana Guardiola telah berkata: "Cepat atau lambat, jika berpeluang, saya akan menyertai pasukan kebangsaan."

Bagaimanapun, Guardiola, yang kini berusia 47 tahun, masih mempunyai kontrak sehingga 2021 dan mendakwa kenyataan itu tidak menggugat komitmennya bersama City sambil menambah dia mungkin akan mengubah fikiran dan kekal dalam bidang pengurusan kelab.

"Saya telah bercakap beberapa kali bahawa saya mempunyai kontrak di sini dan jika segalanya lancar, saya akan melanjutkannya," katanya.

"Semua orang ada impian. Sewaktu kecil, saya juga memilikinya. Ada yang akan kamu kecapi dan ada yang tidak, segalanya boleh berlaku. Mungkin di masa akan datang, pengurusan pasukan kebangsaan boleh berlaku atau mungkin saya berubah fikiran.

"Saya komited dengan tugas di sini," ujarnya.