Juanma Lillo telah menyertai Manchester City sebagai pembantu buat pengurus, Pep Guardiola.

Kehadiran Lillo menamatkan pencarian City untuk mencari pengganti Mikel Arteta -- yang meninggalkan pasukan untuk mengemudi Arsenal pada Disember lalu -- sambil Rodolfo Borrell mengisi kekosongan buat sementara.

Bekas kapten, Vincent Kompany, dan bekas pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso, merupakan antara calon untuk mengisi kekosongan itu tetapi pelantikan Lillo dilihat sesuai berdasarkan hubungan lama dengan Guardiola.

Pengurus City itu menamatkan karier selaku pemain dengan tempoh enam bulan di bawah bimbingan Lillo di kelab Mexico, Dorados, pada 2006.

"Saya berbesar hati untuk menyertai barisan kejurulatihan City," katanya.

"Hubungan saya dengan Guardiola telah lama dan saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukannya.

"City menikmati kecemerlangan dalam beberapa tahun terakhir dan menampilkan aksi bola sepak yang indah.

"Menjadi satu penghormatan untuk menempatkan diri sebahagian daripada kumpulan ini dan saya harap mampu memberikan sumbangan penting terhadap kejayaan kelab."