Pep Guardiola melanjutkan kontraknya di Manchester City sehingga Jun 2023, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kontrak asal Guardiola akan tamat pada penghujung musim ini tetapi City mengumumkan semalam bahawa dia sudah bersetuju untuk memanjangkan tempohnya di Stadium Etihad selama dua tahun.

Sejak menggantikan Manuel Pellegrini pada 2016, pengurus Catalan itu telah membantu kelab berkenaan memenangi dua gelaran EPL, termasuk ketika menyapu bersih kesemua gelaran domestik dalam musim 2018-19 -- rekod yang tidak pernah dilakukan di England sebelum itu.

"Pemanjangan kontrak Pep adalah langkah natural dalam perjalanan kami yang telah berevolusi dari tahun ke tahun," kata Pengerusi City, Khaldoon Mubarak.

"Ia satu produk daripada kepercayaan bersama dan hormat yang wujud di antara dia dan seluruh kelab ini."

Dengan menjuarai lapan trofi sepanjang mengemudi City, Guardiola merekodkan 73.87 peratus kemenangan daripada 245 perlawanan.

Dia berkata dalam satu kenyataan: "Saya mempunyai segala yang mungkin saya mahukan untuk menjalankan tugas saya dengan baik dan saya terharu dengan keyakinan pemilik, pengerusi, Ferran (Soriano) dan Txiki (Begiristain), yang telah tunjukkan kepada saya untuk meneruskannya selama dua tahun lagi selepas musim ini."