Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya dedikasi 24 jam kepada bola sepak, termasuk sesi gimnasium pada awal pagi, telah memberikan Ruben Dias permulaan gemilang di Stadium Etihad.

Dias menjadi pemain termahal City selepas menyertai pasukan itu dengan yuran perpindahan £62 juta (RM339.1 juta) daripada Benfica pada September lalu, tidak lama selepas City diaibkan dengan kekalahan 2-5 kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sejak itu, pemain kebangsaan Portugal berkenaan telah melakukan banyak perkara yang menepati tanda harganya dengan mencipta gandingan menakjubkan bersama John Stones di bahagian pertahanan tengah pasukan itu.

Dias mengetuai jumlah mengeluarkan bola dari kawasan bahaya (55) dan melakukan tandukan mengeluarkan bola sebanyak 27 kali. Dia hanya berada di belakang Rodri (31) dan Joao Cancelo (25) dengan melakukan 20 pintasan.

Pemain tengah bertahan Sepanyol, Rodri, memenangi 50 pertarungan di udara manakala Dias berada di tangga kedua dengan 37.

Setelah mencipta reputasi yang semakin meningkat dengan beraksi baik ketika menewaskan Chelsea dan Manchester United sepanjang seminggu lalu, Diaz dijangka akan direhatkan dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Birmingham malam ini tetapi Guardiola tiada masalah untuk sekali lagi mengubah keputusannya.

"Anda tahu bilakah pemain dapat dilihat sebagai perpindahan besar atau mempengaruhi pasukan? Ia apabila mereka mampu bermain berselang tiga hari. Itulah pembelian terbaik," kata Guardiola.

"Apabila anda membeli pemain, sentiasalah berfikir bahawa mereka akan membantu skuad anda tetapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku. Dia pemain yang boleh beraksi setiap tiga hari dan pulih secepat mungkin.

"Kemampuannya amat luar biasa. Dia memahami permainan kami, dia mahu belajar dan kesemua kami amat kagum dengan sebagaimana dia mengambil berat tentang tubuh dan mindanya.

"Sehari selepas perlawanan, pada jam 8.30 atau 9.00 pagi, dia sudah berada di gimnasium, dia melakukan rutinnya dengan amat sempurna. Dia hidup 24 jam dengan kerjayanya pada usia 23 tahun.

"Saya boleh jamin bahawa kami telah menandatangani pemain yang luar biasa untuk lima, enam atau tujuh tahun ke depan dan ia bukan mudah untuk dicari," katanya.