WEST HAM 0 MANCHESTER CITY 5

Pep Gurdiola memberi amaran bahawa Manchester City dan penjaring hatrik, Raheem Sterling, masih mempunyai ruang untuk diperbaiki selepas membelasah West Ham 5-0, malam tadi.


Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu meraih kemenangan gemilang dalam perlawanan pembukaan musim di Stadium London itu selepas menjaringkan empat gol dalam separuh masa kedua

Penyerang bintang, Sterling, menjaringkan tiga gol dan dilihat berada di prestasi yang meyakinkan manakala pemain baru, Rodri, dan pemain yang kembali beraksi, Riyad Mahrez, menyerlah di posisi masing-masing.

"Daripada segi lima gol, benar, ia adalah permulaan sempurna," katanya dalam sidang media.

"Namun, prestasi dalam separuh masa pertama amat jauh daripada apa yang kami mahukan. Satu lagi (separuh masa) yang normal.

"Kami masih belum berada di tahap terbaik dan saya sedar kami banyak kehilangan bola yang mudah, jadi ia amat sukar untuk memperoleh tempo yang baik dalam permainan.

"Hari ini, Raheem menjaringkan gol, Bernardo (Silva) hampir menjaringkan gol dan ia merupakan persembahan luar biasa daripada Riyad Mahrez, tahap yang luar biasa.

"Saya fikir (Sterling) menjaringkan gol dalam setiap perlawanan pramusim, jadi dia menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan.

"Namun, dalam babak pertama, dia boleh melakukannya dengan lebih baik," katanya.

Gabriel Jesus menjaringkan gol pertama City pada minit ke-25 dan berpeluang menggandakannya andai Sterling tidak tertangkap berada di posisi yang sedikit ofsaid, yang dikesan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Teknologi itu turut memainkan peranan membenarkan Sergio Aguero mengambil semula dan menyempurnakan sepakan penalti yang pada awalnya diselamatkan manakala pelawat perlu menunggu pengesahan jaringan kedua Sterling selepas analisis panjang.

Guardiola berkata pemain dan penyokong perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan sistem itu, yang baru diperkenalkan dalam Liga Perdana.

"Ia tempoh di mana ketika anda meraikan, anda perlu bertenang dan menjadi kuat.

"Ia akan mengubah dinamik, bukan hanya untuk pemain tetapi untuk penonton juga.

"Penyokong senyap dan kemudian (gol Jesus dibatalkan), mereka melihat dan berfikir 'oh, kami boleh meraikannya'.

"Ia akan menjadi pengajaran yang baik untuk masa akan datang, namun itulah ia," tambahnya.