Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menjangkakan persoalan mengenai masa depan Mikel Arteta akan terjawab dalam masa terdekat selepas dia mengadakan perbincangan dengan Arsenal.

Arteta, yang kini bertindak selaku pembantu Guardiola, merupakan calon pilihan untuk menggantikan Unai Emery selaku pengendali The Gunners.

Pengurus City itu mahu situasi itu diselesaikan dengan cepat tatkala dia mempersiapkan diri untuk menghadapi aksi suku akhir Piala EFL menentang Oxford City awal pagi esok.

Ditanya jika dia mahu keputusan dibuat cepat, Guardiola berkata: "Ya, saya fikir begitu. Ia akan berlaku dengan pantas. Saya tidak tahu jika ia dibuat sebelum hujung minggu ini.

"Esok kami akan bertandang ke Oxford, jadi kami tidak tahu."

Bekas pengendali Barcelona itu juga mahu Arteta kekal bersama juara Liga Perdana Inggeris itu tetapi sudah memiliki perancangan sekiranya rakan senegaranya itu meninggalkan pasukan.

"Kami meneruskan cabaran. Kami akan mempersiapkan diri untuk aksi seterusnya. Kami akan merombak situasi dalam panel kejurulatihan tetapi kini sedang bercakap tentang satu andaian.

"Arteta tahu keinginan dan kemahuan kami tetapi jika dia membuat keputusan untuk meninggalkan City, kami akan buat keputusan berdasarkan apa yang perlu dilakukan.

"Ketika ini, kami sedang mempersiapkan diri untuk perlawanan, termasuk kesebelasan utama, dan dia menjalankan tugas, sama seperti sejak tiga tahun enam bulan yang lalu."