Guardiola: Hormat tapi bukan gentar Manchester United

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Mac 2021 1632
 Guardiola: Hormat tapi bukan gentar Manchester United
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan rasa hormatnya terhadap Manchester United tidak pernah berubah, bukannya gentar. 

The Cityzens akan menjadi tuan rumah kepada United di Stadium Etihad, tengah malam esok, dengan matlamat untuk meneruskan rekod kemenangan 21 perlawanan dan selain mengurangkan defisit 14 mata dengan seteru kota itu di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Guardiola sentiasa memikirkan soal itu di sebalik anak buahnya sering mengatasi kedudukan United saban musim sejak dia mengambil alih jawatan berkenaan pada 2016-17 selain telah memenangi enam gelaran utama berbanding dua oleh The Red Devils. 

Namun, sepanjang pertemuan 'derby' termasuk aksi dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) Januari lalu, perlawanan menentang pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu terbukti semakin sengit. 

Keputusan seri 0-0 di Old Trafford Disember lalu bermaksud City hanya menang sekali daripada lima pertemuan mereka sejak 2019-20 selain gagal penyudah tumpul dalam tiga pertemuan terakhir.

Namun, Guardiola menegaskan perhitungan mereka sebelum ini dipengaruhi prestasi keseluruhan yang buruk ketika itu, bukan rasa gentar terhadap United.


 

"Mereka tahu sejak saya berada di Barcelona, sekarang di sini dan Bayern Munich lagi apabila kami bermain menentang United, saya mempunyai rasa hormat yang luar biasa terhadap mereka," katanya.

"Kadang kala keputusan yang diraih pada November, Desember, Januari, bergantung  kepada keadaan semasa selain saat yang tepat -- pemain masih menyesuaikan diri dengan COVID-19 dan kecederaan yang boleh mengganggu momentum kami. 

"Sudah tentu, saya menghormati United tetapi 'takut' bukanlah perkataan yang tepat untuk menjelaskan bagaimana saya mendekati sesebuah perlawanan.

"Kami akan turun dengan misi untuk menang. Saya mungkin mengetengahkan tujuh pertahanan tetapi mentaliti kami tetap adalah untuk memenangi perlawanan ini, anda boleh menampilkan tujuh penyerang mahupun pertahanan. 

"Pendekatan kami sememangnnya sudah terkenal jadi hari esok tiada menjadi pengecualian.

"Perlawanan ini diramalkan tidak menarik, semua analisisnya 'membosankan' dan ia sekadar '0-0'. Ini perkembangan yang tidak bagus. Tetapi kami harus mengakui bahawa dalam tempoh itu, kami tidak berada di tahap terbaik. Dalam semusim, anda pasti mengalami pasang surut.

"Kami tidak berada pada saat yang baik ketika itu tetapi misi kami adalah cuba memenangi perlawanan. Semua kelab musim ini mengalami pasang surut. Satu-satunya sebab kami dapat menguasai puncak liga adalah kerana penurunan prestasi lawan kami. Itulah satu-satu perbezaannya."

Sebahagian kejayaan United berlandaskan serangan balas, namun Guardiola memilih untuk menyebut kelibat pemain veteran, Edinson Cavani.

"Cavani merupakan salah seorang pemain yang paling saya kagumi atas kariernya, apa yang telah dilakukannya, bagaimana dia menjalani kariernya," katanya.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen