Pep Guardiola menggesa Manchester City supaya belajar daripada insiden kad merah ketika menentang Barcelona dalam aksi timbal balik kedua-dua pasukan di Stadium Etihad, awal pagi esok.

City ketinggalan lima mata di belakang Barcelona dalam saingan Kumpulan C selepas ditewaskan 4-0 di Camp Nou, dua minggu lalu.

Kejayaan mereka itu dibantu oleh layangan kad merah ke atas penjaga gol, Claudio Bravo, yang sengaja menyentuh bola di luar kawasan penaltinya.

Ia merupakan kekalahan kelima mereka kepada Barcelona dalam tempoh empat tahun.

Justeru, Willy Caballero hampir pasti akan menjadi sandaran sebagai benteng terakhir untuk menafikan jentera Barcelona yang menyaksikan Lionel Messi melakar hatrik dalam pertemuan terakhir mereka.

"Apabila saya mengatakan bagaimana anda harus belajar, inilah contohnya. Bukan mudah untuk memenangi perlawanan Liga Juara-Juara," kata Guardiola yang membantu City mengakhiri enam perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan West Brom, hujung minggu lalu.

"Sukar untuk mencatatkan kemenangan ke atas Barcelona dengan 11 lawan 11 pemain. 10 lawan 11 pemain pula hampir mustahil.

"Sudah tentu kami perlu meningkatkan aksi. Ada kalanya ia tidak adil, tapi pertemuan terakhir kami adalah kesilapan kami sendiri, jadi kami perlu memperbaikinya.

"Ini adalah bola sepak dan bola sepak adalah permainan yang banyak kesilapan. Ada masanya anda perlu mengharungi situasi seperti itu untuk lebih maju."

City memiliki rekod buruk kelakukan pemain musim ini. Sergio Aguero sempat digantung tiga perlawanan kerana menyiku pemain West Ham, Winston Reid, dalam kemenangan 3-1, Ogos lalu.

Nolito pula dibuang padang ketika membenam Bournemouth 4-0 kerana menghantuk kepala Adam Smith selain turut melakukan tindakan serupa ketika menentang The Hawthorns.

Nolito mengakui dia perlu mengelak daripada hilang pertimbangan lagi dalam aksi getir menentang Barcelona.

"Saya tidak berniat untuk menyakiti mana-mana pemain.

"Saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pemain lain dan kanak-kanak serta berharap ia tidak akan berulang lagi."