MANCHESTER CITY 5 BURNLEY 0

Pep Guardiola terus membuat tuntutan tinggi daripada barisan anak buahnya selepas membelasah Burnley 5-0 yang menyaksikan Riyad Mahrez mencetak hatrik di tempat sendiri, malam tadi.


Benjamin Mendy dan Ferran Torres turut menemui sasaran penyudah selepas tumpul di depan gawang sejak awal musim ini.

Dalam peranannya untuk mengetuai jentera serangan, Mahrez merakamkan gol ketujuhnya dalam empat penampilan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Burnley.

Lapan gol sepanjang kerjayanya menentang Clarets meletakkan sebagai pemain paling berbahaya buat seteru itu.

Pemain sayap Algeria itu juga menambah jumlah golnya dalam EPL kepada 102 (61 gol, 41 bantuan jaringan), sekali gus mengangkatnya selaku pemain keenam Afrika yang mencapai bilangan gol tiga angka.

Persembahan berkesan seperti itu mencerminkan betapa Mahrez ingin mengukuhkan posisinya di City, justeru Guardiola menegaskan masa untuk penggiliran skuad dalam kempen EPL sudah berakhir, sekurang-kurangnya sehingga pusingan kalah mati UCL yang hanya bermula Februari depan.

"Sudah tentu akan ada pemain yang kepenatan dan memerlukan rehat," kata Guardiola yang menyaksikan pemainnya memiliki 68.6 peratus penguasaan bola dan 19 percubaan manakala sembilan daripada Burnley.



"Tetapi mereka tetap mahu beraksi, kami bertahan dengan baik dan menjaringkan gol.

"Pemain-pemain ini melakukannya kerana ingin merebut tempat beraksi lebih kerap. Ini bukan soal membuat penggiliran pemain. Mereka akan lebih banyak peluang lagi sehingga mereka keletihan."


Sehubungan itu, pengurus dari Sepanyol itu menggesa pemain lain agar mengikuti jejak langkah bekas bintang Leicester City berkenaan.

"Dalam minggu terakhir atau beberapa hari lalu, prestasi menjadi lebih baik dan kami melihatnya lebih tajam," katanya lagi.

"Sudah tentu kemenangan besar ini boleh membantu kami terutama buat Riyad. Riyad harus meledakkan gol, yang lain juga harus menjaringkan gol termasuk Raheem Sterling tetapi mereka tidak kerap melakukannya.

"Mereka harus menjaringkan gol dan itulah sebabnya mengapa mereka berada di sini dan berada di barisan depan."