Pep Guardiola berhasrat untuk terus menggunakan khidmat Fernandinho di bahagian pertahanan Manchester City biarpun keputusan berkenaan mengundang kritikan.

Fernandinho sering digunakan sebagai pertahanan tengah pada musim ini berikutan kecederaan yang menimpa Aymeric Laporte sementara John Stones dan Nicolas Otamendi bergelut dengan masalah kecergasan dan ketekalan.

Pemain antarabangsa Brazil itu sering kali menjadi pilihan utama sepanjang ketiadaan Laporte meskipun posisi asalnya adalah sebagai pemain tengah.

Bagaimanapun, Guardiola tidak merancang untuk mengubah peranan Fernandinho itu.

"Jika Rodri dan Gundogan cergas, saya tidak fikir begitu (akan mengubah posisinya) kerana saya menggemari kelibat Fernandinho di kedudukan pertahanan tengah," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu kepada pemberita ketika ditanya sama ada dia akan kembali meletakkan pemain berusia 34 tahun tersebut di posisi asalnya.

"Saya tahu dia boleh bermain di bahagian tengah tetapi kami memiliki Gundogan. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadapnya dan Rodri.

"Sejak saya tiba di sini, kami telah mencari pemain tengah.

"Fernandinho kelihatan bagus (bertemu Chelsea) kerana kami menang ketika itu. Jika kami kalah, maka dia bermain dengan buruk. Saya menyedarinya dan kami menang.

"Di Anfield pula, dia adalah pertahanan tengah terbaik yang kami ada ketika itu tetapi (ternyata) ia menjadi satu bencana.

"Dia beraksi dengan sangat luar biasa di Anfield, dia sangat luar biasa (bertemu Chelsea). Dia begitu pantas ketika kami melancarkan gerakan. Dia pemain sempurna dalam soal itu.

"Adalah penting untuk bertindak agresif sebagai pemain tengah tetapi anda juga perlu cepat menghantar bola dan mencari penyelesaian di ruang yang lebih kecil.

"Gundogan mempunyai kualiti itu. Itulah sebabnya kami melihatnya dalam situasi berbeza."

Tatkala krisis kecederaan melanda City, khususnya di bahagian pertahanan musim ini, Guardiola pula gusar mengenai Sergio Aguero yang terpaksa dikeluarkan pada lewat permainan dalam kemenangan 2-1 ke atas Chelsea semalam.

Bagaimanapun, Guardiola tidak mempunyai keraguan terhadap Gabriel Jesus -- yang telah menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan musim ini -- bagi mengisi kekosongan itu sekiranya Aguero perlu dipinggirkan lebih lama.

"Gabriel telah membuat salah satu permulaan terbaik musim ini. Jika Sergio tidak dapat beraksi dalam perlawanan akan datang, maka sudah tentu Gabriel akan menjadi pilihan utama.

"(Raheem) Sterling juga boleh bermain di posisi itu tetapi tentu sahaja Gabriel akan bermain."