Guardiola gembira dengan City meskipun tewas

Oleh Staff Writer 5 Disember 2016 1
Guardiola gembira dengan City meskipun tewas

Pep Guardiola mendakwa dia gembira dengan aksi Manchester City ketika tewas kepada Chelsea berbanding ketika melakar kemenangan ke atas Burnley dan Crystal Palace.

Rekod tanpa kalah City dalam Liga Perdana Inggeris berakhir di tangan anak buah Antonio Conte yang bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk menang 3-1 di Stadium Etihad yang turut menyaksikan Sergio Aguero dan Fernandinho dibuang padang.

Guardiola memuji ketajaman Chelsea di depan gawang, namun enggan mengkritik aksi pemainnya.

"Saya lebih berpuas hati dengan perlawanan ini berbanding dua perlawanan sebelum ini.

"Kami gembira dengan kemenangan ke atas Palace dan Burnley tetapi ketika itu rasa seperti kami bermain dengan perasaan gusar.

"Saya memberitahu pemain: 'Kita perlu bermain dengan lebih baik, seperti di awal musim. Pemain perlu mempamer perwatakan tersendiri dan bertindak lebih agresif.'

"Itulah yang mereka lalukan tetapi kami tidak menang, jadi kami ada sebab untuk memperbaiki aksi masing-masing. 

"Kerana itulah, sebaik tamat perlawanan, saya mengucapkan tahniah kepada pemain."

City berpeluang untuk mengesahkan kemenangan sekiranya percubaan dekat Kevin De Bruyne berjaya disudahkan.

Kegagalan tersebut membuka ruang buat Diego Costa, Willian dan Eden Hazard mengesahkan tiga mata penting buat The Blues.

"Chelsea memiliki skuad yang berkualiti," tambah Guardiola. "Ketika berdepan Spurs, mereka hambar dalam babak pertama sebelum bangkit dalam babak kedua.

"Kami mendapat peluang yang banyak tetapi ia tidak berguna jika peluang tersebut gagal disempurnakan."

Sementara itu, Guardiola turut mengesahkan bahawa City tidak akan merayu kad merah yang dilayangkan terhadap Aguero.

"Dia dibuang padang, kami perlu menerima hukuman itu."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen