MANCHESTER CITY 2 LEICESTER 0

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, gembira dengan prestasi pasukannya selepas rehat antarabangsa apabila menewaskan Leicester City 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power, lewat malam tadi.


City memenangi sembilan perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana sebelum berehat dua minggu tetapi sebarang kekhuatiran bahawa mereka tidak dapat meneruskan rentak menakjubkan dinafikan apabila jaringan Gabriel Jesus dan Kevin De Bruyne menumpaskan skuad The Foxes.

"Rehat antarabangsa selalunya rumit, terutama jika anda bermain di gelanggang luar," kata jurulatih dari Sepanyol itu.

"Ia rumit untuk bertahan menentang Leicester tetapi kami melakukannya dengan baik. Kami tidak bolos dalam masa 90 minit," katanya.

Rembatan jarak jauh De Bruyne adalah gol ketiganya dalam liga dan pemain Belgium itu melahirkan keyakinan dengan corak pasukannya bermain.

"Kami mengawal permainan selama 90 minit," katanya.

"Ia tidak mudah menentang Leicester. Kami tidak mencipta banyak peluang, namun pada separuh kedua kami beraksi sangat baik.

"Kami berasa yakin dengan cara kami bermain. Ia adalah jadual yang sibuk tetapi kami dapat melakukannya dengan baik," katanya lagi.