Pep Guardiola berasakan beliau tidak berpeluang untuk beraksi dalam skuad Manchester City kerana Fernandinho jauh lebih baik daripadanya.

Kemenangan 4-0 ke atas Swansea merupakan kemenangan ke-15 berturut-turut buat City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekaligus mencipta rekod baru.

Kevin De Bruyne dan David Silva merupakan antara pemain yang diberikan pujian di atas usaha mereka manakala Sergio Aguero, Raheem Sterling, Leroy Sane dan Gabriel Jesus turut mencipta nama.

Pemain tengah Brazil, Fernandinho, tidak diangkat seperti mana bintang-bintang lain tetapi telah memainkan peranan yang penting di atas prestasi cemerlang pasukannya.

Kepentingan Fernandinho dalam kesebelasan utama The Citizens menjadikan bekas bintang Barcelona dan Sepanyol, Guardiola, berasakan beliau akan bergelut untuk beraksi dalam skuad City.

"Tidak mungkin. Fernandinho adalah pemain yang lebih baik daripada saya," ujarnya.

City akan bertemu Tottenham dalam pertemuan seterusnya dalam usaha untuk merekodkan kemenangan ke-16 berturut-turut dalam saingan EPL.

Guardiola memuji Spurs, terutama jurulatih mereka, Mauricio Pochettino, yang berjaya membentuk skuad ampuh dengan pemain-pemain muda England.

"Mereka memiliki barisan pemain muda yang berkualiti. Saya berpendapat masa depan skuad kebangsaan England adalan Tottenham.

"Saya berpendapat bola sepak Inggeris perlu berterima kasih kepada Pochettino kerana beliau telah meningkatkan mutu skuad kebangsaan," tambahnya.