Pep Guardiola melabel Sergio Aguero sebagai legenda dan menegaskan dia memahami kekecewaan penyerang itu dengan kehidupan di Manchester City.

Bekas penyerang Atletico Madrid itu mempamerkan aksi hebat ketika City membenam Bournemouth 4-0 untuk kemenangan ke-17 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Aguero menjaringkan dua gol menerusi tandukan selain sentuhan pemusnah Raheem Sterling dan pemain gantian, Danilo, untuk memastikan keceriaan berterusan penyokong mereka.

Persembahan tonggak Argentina itu memberi peringatan sempurna kepada Guardiola tentang kebolehannya selepas laporan pada Jumaat lalu menunjukkan bahawa dia kembali kecewa dengan penggiliran pemain yang diamalkan pengurusnya.

Guardiola memuji persembahan Aguero itu dan turut memahami mengapa pemain itu mungkin berasa marah.

"Dia seorang pemain istimewa, tidak ada keraguan tentang itu," kata Guardiola yang dipetik daripada lawan sesawang kelab itu.

"Dia seorang legenda dan saya sangat gembira apabila dia bermain bagus dan menjaringkan gol.

"Saya seorang pemain bola sepak, saya faham perasaan pemain apabila mereka digantikan dan tidak bermain, mereka sedih dan kecewa.

"Saya faham tugas kami adalah untuk mencuba dan mencari kelemahan tetapi saya cuba untuk mempunyai hubungan terbaik dengan pemain saya dengan sebaik mungkin.

"Ada masanya, saya fikir Gabriel Jesus layak bermain -- begitu juga Bernardo Silva dan Eliaquim Mangala. Yang penting ialah mereka saling menghormati antara satu sama lain.

"Jika mereka tidak berpuas hati dengan saya, itu bukan masalah tetapi mereka harus mempunyai hubungan yang mengagumkan antara mereka. Bilik persalinan adalah impian saya untuk bermain dengan mereka dan melatih mereka.

"Saya sangat menghormati Sergio Aguero dan segala yang telah dilakukannya, apa yang sedang diusahakannya dan apa yang akan dilakukannya pada masa depan.

"Dia akan menentukan segala-galanya tentang masa depan dan kehidupannya, dan saya sangat gembira untuk memilikinya di sini, sama juga dengan Gabriel Jesus serta keseluruhan skuad," hujahnya.