MANCHESTER CITY 6 SOUTHAMPTON 1

Pep Guardiola berkata Raheem Sterling mampu mencapai "apa sahaja yang dia mahu" dalam bola sepak tetapi enggan melabelnya dalam kalangan pemain terbaik dunia selepas menjaringkan gol yang ke-50 buat Manchester City, malam tadi.


Pemain berusia 23 tahun itu meledak dua gol ketika membantu City meraih kemenangan 6-1 ke atas Southampton di Stadium Etihad, dengan menjaringkan gol dalam kedua-dua separuh masa di samping melakukan dua bantuan jaringan.

Guardiola berpuas hati dengan persembahan pemain sayap England itu tetapi enggan meletakkan Sterling sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.

"Sterling adalah pemain yang berkualiti tetapi masih terlalu muda untuk berada dalam kalangan terbaik dunia," katanya.

"Dia berada dalam prestasi yang cemerlang -- pantas, bijak melakukan keputusan dan sangat selesa beraksi di atas padang.

"Sterling sentiasa memberikan kesukaran buat pertahanan lawan dan dia telah mempamerkan persembahan yang terbaik.

"Tetapi, dia masih muda. Saya mahu dia meningkatkan lagi mutu permainan kerana dia masih lagi melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

"Jika dia dapat memberikan persembahan yang seimbang dan memberikan tumpuan, dia mampu menjadi pemain yang lebih baik dan mampu mencapai apa sahaja yang diingini," katanya lagi.