Guardiola: City tidak akan tandatangani pemain Januari ini

Oleh Staff Writer 26 Oktober 2019 423
Guardiola: City tidak akan tandatangani pemain Januari ini
Pep Guardiola mendakwa masalah kecederaan Manchester City tidak akan mendorong juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk mendapatkan pemain baru Januari depan.

Rodri (hamstring) dan Oleksandr Zinchenko (lutut) bakal direhatkan bersama Aymeric Laporte dan Leroy Sane untuk jangka masa panjang.

Dijangka akan pulih selepas tamat aksi perlawanan antarabangsa bulan depan bermakna kedua-dua pemain itu bakal terlepas aksi bertemu Liverpool.

Sane dan Laporte hanya bakal kembali beraksi selepas tahun baru. Ketiadaan pemain pertahanan kelahiran Perancis itu menjejaskan City yang gagal mendapatkan pengganti Vincent Kompany yang memilih untuk meninggalkan kelab selepas tamat musim lalu.

Rodri dan Fernandinho telah turun selaku pemain pertahanan ketika John Stones dan Nicolas Otamendi sedang mendapatkan semula tahap kecergasan kerana mengalami kecederaan hamstring dan belakang.

Di sebalik spekulasi melibatkan City yang bakal mendapatkan khidmat pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly, dan Ruben Dias dari Benfica, Guardiola percaya tiada pemain baru yang bakal ditandatangani Januari depan.

"Kami mungkin akan mendapatkan pemain selepas tamat saingan musim ini kerana beberapa posisi kami masih lagi kekurangan pemain tetapi City tidak akan berbelanja Januari ini.

"Buat masa ini, perancangan kami adalah menggunakan pemain sedia ada."

Dua pembedahan lutut menyaksikan Benjamin Mendy kerap diketepikan sambil membenarkan Zinchenko peluang untuk mengukuhkan dirinya dalam percaturan Guardiola sebagai pertahanan kiri.

Namun, pemain kelahiran Ukraine itu kini mengalami kecederaan dan giliran Mendy pula untuk mendapatkan masa beraksi.

"Mendy telah bermain selama 90 minit ketika berdepan Crystal Palace dan tiga hari kemudian selama 75 minit (ketika berdepan Atalanta).

"Saya berasakan dia mula mendapatkan sentuhannya. Jika dia dapat beraksi secara konsisten, dia mampu mempamerkan aksi yang berkualiti untuk City."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen