Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak akan mengutamakan saingan piala berbanding Liga Perdana Inggeris untuk sepanjang musim ini kerana risau tentang kehilangan tempat dalam pertandingan Eropah.

City kini 14 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, sekali gus membuatkan misi mempertahankan gelaran juara tampak sukar selepas tewas 3-2 di tangan Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Walaupun kad merah awal perlawanan yang diterima Ederson membuatkan City berada dalam tekanan di Molineux, mereka dapat mengimbangi tekanan apabila dua kali mendahului menerusi jaringan Raheem Sterling.

Namun, Adama Traore menyumbat satu gol di antara dua jaringan tersebut sebelum memainkan peranan utama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-82, menggunakan kesempatan hasil kesilapan Benjamin Mendy dan membuka ruang buat Raul Jimenez.

Pemain Mexico, Jimenez, kemudian mencipta bantuan gol buat Matt Doherty sekali gus mengesahkan kemenangan buat Wolves dan menyebabkan City semakin jauh ketinggalan berbanding Liverpool yang turut memiliki kelebihan satu perlawanan.

Namun, berputus asa dalam Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yang tidak mahu dilakukan oleh Guardiola.

"Kami tidak boleh putus asa atau akan terlepas saingan Eropah," katanya.

"Saya tidak pernah utamakan kejohanan. Kini, kami kembali ke laman sendiri dan bakal beraksi dalam perlawanan lain dalam tempoh kurang 40 jam lagi menentang Sheffield United. Kami harus bersedia, lihat mereka bagaimana nanti.

"Reaksi kami sentiasa bagus. Kami pernah berada di puncak dan kini akan berjuang."

Keputusan awal pagi tadi itu bermakna City gagal kembali ke tangga kedua liga serta memintas Leicester City -- yang dibenam Liverpool 4-0, semalam.

Guardiola menegaskan The Foxes kini sasaran mereka sambil melihat untuk mengejar Liverpool adalah sesuatu yang tidak realistik.

"Kami harus teruskan cabaran," tambahnya.

"Kami telah beraksi dalam musim pertama dan hampir dengan puncak liga sepanjang masa. Dalam sesetengah situasi, kami jauh ketinggalan. Kami harus mengejar pasukan tangga kedua dan lihat kedudukan nanti.

"Tidak realistik untuk memikirkan Liverpool. Kami fikirkan Leicester. Kami berpeluang untuk menduduki tangga kedua dan tahu kualiti pasukan tetapi itulah situasi sebenar."


Editor: Nafis Abdullah