Pep Guardiola berkata Manchester City perlu "bekerja lebih keras, bermain lebih baik dan berdoa" untuk merapatkan jurang dengan Liverpool tetapi beliau yakin skuad yang bebas kecederaan mampu untuk terus bersaing merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

City telah memenangi gelaran liga sepanjang dua musim lalu, namun mereka kini ketinggalan 14 mata kepada pendahulu, Liverpool, yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Ketika skuad City yang makin berusia mula menampilkan kemerosotan berbanding kempen masa lalu, Guardiola menekankan impak masalah kecederaan yang menghimpit tonggak utama seperti Aymeric Laporte dan Leroy Sane sementara David Silva dan Sergio Aguero turut menghadapi beberapa isu yang perlu ditangani.

Ditanya apa yang diperlukan untuk mengejar Liverpool, pengurus City itu berkata, "Bekerja lebih kuat, bermain lebih baik dan berdoa.

"Dengan skuad penuh, ya, (City boleh bersaing). Terdapat perkara-perkara yang kami tidak mampu kawal. Kami akan cuba sebaik mungkin.

"Tapi isu-isu lain kami tidak boleh kami kawal seperti aksi menakjubkan yang ditampilkan Liverpool setakat ini. Jika semua pemain cergas, kami masih mampu melakukannya."

Guardiola, bagaimanapun, enggan menerima bahawa kegagalan untuk menandatangani pemain baru dalam jendela perpindahan lalu menyumbang kepada masalah mereka.

"Tidak, saya berasakan pasukan ini sudah menakjubkan. Kami memiliki masalah kecederaan -- perkara-perkara begini sentiasa berlaku sementara Liverpool pula mengagumkan.

"Mereka adalah juara Eropah dan sekadar keciciran dua mata. Tahniah kepada mereka. Saya sedar jurang di antara kami adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku tapi itulah kedudukannya."



Editor: Ammar Hakim