Guardiola: City akan beri penghormatan kepada Liverpool

Oleh Muzaffar Musa 28 Jun 2020 1540
Guardiola: City akan beri penghormatan kepada Liverpool
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengesahkan bahawa pasukannya akan memberikan penghormatan 'guard of honour' kepada Liverpool ketika pasukannya berdepan juara baru Liga Perdana Inggeris itu di Stadium Etihad minggu depan.

City tewas 1-2 kepada Chelsea Khamis lalu, sekali gus menamatkan penguasaan selama dua tahun mereka selaku juara bertahan.

Ia membantu Liverpool mengesahkan kejuaraan dengan kelebihan 23 mata berbaki tujuh perlawanan.

Perseteruan di antara City dan Liverpool semakin berkembang sejak beberapa musim ini.

Bas pasukan City pernah diserang dengan misil sebelum Liverpool mencatatkan kemenangan dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di Anfield pada 2018 manakala skuad kendalian Guardiola itu pula muncul juara liga dengan hanya berkelebihan satu mata musim lalu -- City (98 mata) mengatasi Liverpool (97).

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Catalan itu menegaskan bahawa dia dan pemainnya perlu memberikan penghormatan buat juara baru itu bagi menghormati apa yang telah dicapai Jurgen Klopp bersama pasukannya.

"Kami akan melakukan 'guard of honour', itu sudah pasti.

"Kami sentiasa menyambut Liverpool dengan cara yang luar biasa di rumah kami. Mereka tidak boleh merungut.

"Kami pasti akan melakukannya kerana mereka layak menerimanya," katanya.
 
Guardiola menyedari keinginan Liverpool untuk menamatkan penantian 30 tahun kejuaraan mereka dengan berkata pasukan itu bermain dalam setiap perlawanan seperti ia merupakan perlawanan terakhir mereka.

Bekas pengurus Barcelona itu yakin bahawa dia sedar mengapa City gagal menjulang kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut tetapi enggan keinginan pasukannya, yang telah memenangi enam daripada lapan kejuaraan utama terakhir, dipersoalkan.

"Saya tidak katakan (City bermain) tanpa keinginan. Jangan tulis apa yang saya tidak katakan," katanya mengenai persoalan itu.

"Saya tidak tahu bagaimana keinginan Liverpool. Saya rasa, saya bayangkan apa yang berlaku, apabila 30 tahun anda tidak memenangi Liga Perdana, selepas memenangi Liga Juara-Juara Eropah, anda pastu akan fokus kepadanya.

"Tetapi saya tidak katakan seperti itu. Kerana pasukan yang sudah memenangi lapan gelaran (termasuk Perisai Komunit pada 2018 dan 2019) masih mempunyai keinginan. Dalam setiap perlawanan, dalam setiap kejohanan.

"Tiada sesiapa dalam negara ini yang boleh berkata seperti itu (City tidak mempunyai keinginan).

"Apa yang telah kami lakukan dalam  liga paling sukar di dunia ini sememangnya sesuatu yang sukar.

"Dalam sukan, anda perlu hidup untuk masa depan dan perkara seterusnya tetapi anda perlu mengambil sedikit masa untuk melihat dengan sebelah mata mengenai apa yang telah kami lakukan.

"Jangan lupa bahawa kami adalah kelab dan organisasi yang hebat. Apa yang perlu kami lakukan adalah belajar.

"Saya fikir kami sedar apa yang menjadi punca kegagalan kami musim ini dan kami akan mencuba untuk menyelesaikannya musim depan," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen