MANCHESTER CITY 3 AFC BOURNEMOUTH 1

Leroy Sane menjadi pencetus kepada kemenangan 3-1 Manchester City ke atas AFC Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Prestasi cemerlangnya itu membuatkan pengurus pasukan, Pep Guardiola, tertanya-tanya apakah yang dimakan pemain kebangsaan Jerman itu sehingga mampu mempamerkan aksi luar biasa.

Larian Sane yang membelah pertahanan The Cherries menjadi pencetus kepada jaringan pembukaan Bernardo Silva sebelum dia menghasilkan hantaran lintang yang mudah disudahkan rakan senegaranya, Ilkay Gundogan, bagi memastikan City meraih mata penuh ketika berbaki 11 minit perlawanan.

"Saya tidak tahu apa yang Leroy makan hari ini, mungkin kami perlu menjadikan ia menu makan tengah hari buat pemain-pemain lain," kata Guardiola.

Pemain berbakat berusia 22 tahun itu bukanlah pilhan utama dalam kesebelesan utama City berikutan kehadiran pemain yang mempunyai reputasi besar, Riyad Mahrez, musim ini.

Namun, Sane menamatkan permulaan perlahannya itu menerusi aksi menarik yang disajikan sejak menentang West Ham United, hujung minggu lalu.

"Jika dia mengadu kepada pengurusnya pada masa akan datang, saya akan menunjukkan rakaman ini.

"Jika dia kekal bermain seperti itu, dia akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

"Dia perlu bersaing dengan Riyad, Raheem Sterling, Kevin de Bruyne dan semua pemain lain.

"Saya sentiasa menginginkan prestasi terbaik daripada mereka. Jika dia mahu menjadi pesaing dalam setiap kejohanan, dia tiada jalan lain.

"Dia pemain yang hebat. Hebat dalam menyerang, bertahan, membuka peluang dan berfikiran positif.

"Namun, adakalanya perkara itu tidak ada.

"Saya pernah mengatakannya sebelum ini, saya tidak pernah sangsi dengan kebolehan Leroy.

"Namun, dia masih muda dan tidak konsisten.

"Ia perkara normal untuk seorang pemain muda.

"Pada masa akan datang, dia mungkin akan menyedari kepentingan untuk beraksi konsisten seperti Fernandinho, David Silva dan Bernardo Silva.

"Itulah yang saya mahukan daripadanya," tambahnya lagi.