Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mendesak pemainnya, Benjamin Mendy, untuk menjadi lebih kuat selepas dilanda beberapa siri kecederaan sejak menyertai Liga Perdana Inggeris.

Pertahanan kiri itu terlepas kebanyakan perlawanan musim lalu disebabkan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Dia kini akan berehat selama tiga bulan lagi selepas menjalani pembedahan lutut.

Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menasihatkan pemain antarabangsa Perancis itu supaya menjaga kesihatan badannya, bulan lalu.

Perkara itu dipersetujui Guardiola yang mahukan Mendy mencari penyelesaian terhadap masalah kecergasan yang dialaminya itu.

"Dia seorang pemain yang profesional. Apabila berada di atas mahupun di luar padang, dia tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

"Namun, kami tidak dapat menolak yang dia mengalami kecederaan yang besar musim lalu dan kini, dia berdepan dengan satu lagi kecederaan serius.

"Setiap pemain perlu tahu peranan mereka.

"Pemain yang kuat adalah pemain yang mampu bermain setiap tiga hari. Pemain seperti itu tidak akan cedera.

"Perkara itu perlu menjadi sasaran utamanya.

"Selepas itu, kami akan menentukan sama ada dia akan diturunkan atau tidak.

"Dia perlu terus bermain. Dia masih muda, berpotensi dan seorang yang hebat.

"Dalam dua musim ini, dia banyak terlepas peluang untuk beraksi," katanya lagi.