Pep Guardiola mengakui krisis kecederaan yang menimpa pertahanan Manchester City mungkin menghukum mereka ketika berdepan lawan bertaraf elit.

City dipaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa, Sabtu lalu, dengan Raheem Sterling, David Silva dan Ilkay Gundogan berjaya menemui sasaran dalam separuh masa kedua.

Skuad kendalian Guardiola itu menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Fernandinho diarah keluar padang apabila mengumpul dua kad kuning.

Pemain tengah veteran itu turun sebagai pertahanan "kecemasan" dalam perlawanan tersebut, sama seperti Rodri – yang mengalami kecederaan hamstring ketika menang 5-1 ke atas Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

John Stones membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak September lalu berdepan Villa, mengalami kecederaan sejak permulaan musim, manakala Aymeric Laporte tidak akan diturunkan sehingga tahun baru selepas menjalani pembedahan meniskus.

Kecederaan belakang memaksa Nicolas Otamendi direhatkan dan masalah mencari pertahanan yang bebas kecederaan merupakan masalah utama buat Guardiola sejak Vincent Kompany mengambil keputusan untuk meninggalkan City penghujung musim lalu.

"Ketika pasukan dalam semangat yang positif, anda akan sentiasa dihimpit masalah lain," kata Guardiola.

"Jika masalah tersebut bersifat sementara, kami mampu menanganinya, jika ia berpanjangan, saya tidak tahu.

"Berdepan pasukan berkualiti, apabila anda tidak memiliki pemain-pemain dalam posisi masing-masing, saya tidak tahu apa akan berlaku.

"Tetapi sebelum itu, saya tidak akan berkata, 'Oh, bencana. Oh, kasihan'. Inilah hakikatnya. Situasi yang ideal tidak wujud dalam bola sepak, terutama bagi saingan musim yang panjang."

City akan berkunjung ke Anfield untuk berdepan pendahulu EPL, Liverpool, 10 November ini, perlawanan yang tidak akan melibatkan Laporte, Rodri, Zinchenko dan Leroy Sane.

Produk akademi, Eric Garcia dan Taylor Harwood-Bellis, bakal diturunkan ketika City menerima kunjungan Southampton dalam saingan Piala EFL.

"Fernandinho tidak dapat beraksi selepas ini, jadi kami akan menggunakan pemain akademi," katanya lagi.

Ketika Barcelona menewaskan Manchester United dalam aksi final UCL 2009, mereka menurunkan Yaya Toure sebagai pertahanan tengah, Carles Puyol di pertahanan kanan dan Sylvinho sebagai pertahanan kiri.

Dani Alves, Eric Abidal dan Rafael Marquez tidak dapat diturunkan dan ia tidak menghalang The Blaugrana merakamkan kemenangan 2-0 di Rome.

"Saya beraksi dalam aksi final UCL yang pertama sebagai pengurus berdepan United tanpa pertahanan utama pasukan.

"Berdepan Cristiano Ronaldo, Carlos Tevez, Dimitar Berbatov, Ryan Giggs -- skuad yang menakjubkan, salah satu skuad terbaik pernah saya hadapi dalam karier saya.

"Bersama City, saya akan cuba melakukan perkara yang sama dengan pemain-pemain sedia ada. Ia adalah jalan yang terbaik."