Raheem Sterling masih mempunyai ruang bagi meningkatkan prestasi untuk terus menyinar bersama Manchester City musim ini, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Sterling mencatat jaringan kelapannya dalam saingan liga musim ini sewaktu membantu City menundukkan Bournemouth 3-1, Sabtu lalu.

Pemain kebangsaan England itu juga telah menghasilkan enam bantuan gol buat The Citizens serta mencatat dua jaringan ketika The Three Lions menewaskan Sepanyol 3-2.

Perkembangan tersebut dipamerkan pemain berusia 23 tahun itu di bawah bimbingan Guardiola setelah memperbaharui kontrak di Etihad bulan lalu, namun pengendali itu tetap mencabar bekas tonggak Liverpool itu untuk terus meningkat.

"Dia mampu melakukan lebih baik. Kami sangat gembira dengan pencapaiannya selama tiga tahun di sini tetapi pasti dia boleh terus meningkat," kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

"Sterling boleh tampil lebih konsisten dalam kawalan pertama serta penguasaan bola. Banyak perkara yang boleh ditingkatkan.

"Ternyata statistik tentangnya sangat bagus. Kami sangat gembira tetapi dia boleh meningkatkannya lagi."

Dalam masa sama, Sergio Aguero belum pasti dapat menyertai Sterling menjelang aksi liga berdepan Watford di Vicarage Road awal pagi esok selepas penyerang itu terpaksa direhatkan ketika meraih kemenangan ke atas Bournemouth akibat kecederaan otot.

Oleksandr Zinchenko terpaksa digantikan dalam keadaan hidung berdarah hujung minggu lalu dan kini masih samar-samar untuk disenaraikan tatkala Kevin De Bruyne belum cergas 100 peratus akibat kecederaan lutut.

"Kami melalui aksi latihan semalam dan saya tidak boleh buat keputusan itu sekarang," tambah Guardiola.

"De Bruyne tidak bersedia tetapi dua pemain lagi, saya tidak tahu."