Bernardo Silva memberikan penghormatan buat Pep Guardiola dengan melabelkan pengendali Manchester City itu sebagai antara pengurus terbaik yang pernah ada.

Guardiola membimbing City memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala EFL dan satu gelaran Piala FA selain dua kejuaraan Perisai Komuniti sejak mengambil alih pasukan itu pada 2016.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu, yang pernah mengecap kejayaan di Barcelona dan Bayern Munich sebelum ini, diperakui sebagai antara pengurus terbaik sepanjang zaman.

Silva memuji individu berusia 49 tahun itu berdasarkan impak yang telah dibawanya dalam kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan dengan berkata: "Secara peribadi, saya belajar banyak perkara bukan hanya daripadanya tetapi juga daripada rakan sepasukan sejak saya menyertai Manchester City.

"Dia antara pengurus terbaik yang pernah ada dan amat baik untuk memilikinya bersama kami."

Silva juga memuji Guardiola kerana mengubah cara permainan City di mana pasukan itu mencecah 100 mata untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim 2017-18 dengan rekod baru.

"Saya mengenali rakan sepasukan saya, pengaruh yang dibawanya sejak tiba di Manchester City amat besar.

"Anda dapat melihatnya dengan keputusan, dengan gelaran sepanjang tiga musim ini.

"Sejak dia hadir, kami memenangi banyak trofi.

"Ia bukan sekadar itu, ia juga mengenai cara permainan kami.

"Kami fikir kami dapat membuatkan peminat menikmati cara permainan kami -- corak menyerang, mencipta peluang, menjaringkan gol, bermain bola sepak yang menarik," tambahnya.