MANCHESTER CITY 4 FULHAM 0

Pep Guardiola segera mengalihkan tumpuannya kepada Manchester United selepas pasukannya, Manchester City, menewaskan Fulham 4-0 dalam pusingan keempat Piala FA di Stadium Etihad malam tadi.


Aksi dalam perlawanan itu mula menjadi berat sebelah sebaik memasuki minit kelapan apabila kapten pelawat, Tim Ream, dilayangkan kad merah kerana mengasari Gabriel Jesus dan Ilkay Gundogan menyudahkan sepakan penalti susulan insiden itu.

Bernardo Silva menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah itu sehingga tamat separuh masa pertama dan dua gol pantas Jesus dalam babak berikutnya mengesahkan kemenangan City.

Selepas ini, City akan bertandang ke laman seteru setempat, United, dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala EFL, dengan skuad kendalian Guadiola itu membawa kelebihan agregat 3-1.

Mengenai perlawanan menentang Fulham itu, Guardiola berkata: "Buat beberapa ketika, saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Mereka pasukan yang memiliki keberanian tetapi sebaliknya berlaku selepas kad merah itu.

"Mereka masih mencuba untuk bermain tetapi perlawanan ini sudah tamat sebaik keputusan menjadi 3-0.

"Keazaman itu sentiasa ada dan kami akan sentiasa mencuba untuk memenangi setiap kejohanan.

"Kami sentiasa menjaringkan gol dan memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol.

"Masalahnya, musim ini, kami kerap dibolosi tetapi ia sentiasa bagus untuk menjaringkan banyak gol," katanya.

Mengenai pertemuan dengan United, Guardiola menambah: "Selepas ini United dan ia peluang untuk ke final, dan itulah sasaran kami berikutnya."




Editor: Muzaffar Musa