Pep Guardiola mempunyai perancangan untuk memastikan pemain Manchester City mengatasi cabaran beraksi dalam dua perlawanan dalam tempoh 48 jam, Disember depan dengan berkata: "Balik rumah, buka peti sejuk dan masuk ke dalamnya."

Juara bertahan itu meniti laluan berliku berikutan perubahan jadual perlawanan bagi memenuhi siaran langsung liputan televisyen apabila akan bertandang ke Wolves lebih awal pada 27 Disember.

Mereka kemudian akan menyambut Sheffield United di Stadium Etihad pada 29 Disember sebelum perlawanan menentang Everton di laman sendiri pada 1 Januari 2020.

Ditanya apakah yang dapat dilakukannya untuk menghadapi perjalanan ke Molineux sebelum berdepan skuad The Blades pada penghujung tahun, Guardiola menjawab: "Pemain akan masuk ke dalam peti sejuk. Saya tidak bergurau.

"Apabila saya membuka peti sejuk untuk membuat telur dadar, mungkin saya sempat bercakap dengan mereka tetapi selain itu, tiada cara lagi lagi.

"Ia pernah berlaku pada musim pertama saya di sini. Saya fikir ketika itu kami bermain di Anfield pada 31 Disember dan menentang Burnley pada 2 Januari."

Begitupun, sebelum memberi tumpuan kepada perancangan tempoh perayaan Krismas, Guardiola dan skuadnya perlu fokus kepada usaha merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool.

"Sepanjang 11 tahun ini, tiada pasukan di England yang memenangi gelaran berturut-turut. Ia pencapaian yang sukar," kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu kepada media sebelum bertandang ke Crystal Palace, tengah malam ini.

"Namun, kami berdepan pencabar yang sukar disekat ketika ini. Mereka menang kelapan-lapan perlawanan. Kami pula pernah kalah tetapi di Sepanyol, kelab-kelab besar juga mengalami kekalahan, begitu juga di Itali. Di sini kami menghadapi sebuah pasukan yang menjuarai Eropah dan belum kalah dalam sebarang perlawanan.

"Ia keadaan yang sukar. Dalam sesetengah perlawanan, kami boleh menang tetapi kami gagal meraihnya. Kesilapan banyak menghukum kami.

"Bermula esok (tengah malam ini) dan dalam Liga Juara-Juara (UCL), kami akan cuba membuat langkah luar biasa dengan kemenangan ke atas Atalanta (awal pagi Rabu ini). Laporte akan kembali Februari depan selain sebahagian besar pemain yang lain.

"Kami akan melihat apa yang berlaku di peringkat seterusnya. Sejak dua musim lalu, apabila kami melangkah pada Mac dan April, adalah lebih sukar untuk keciciran mata ketika itu tetapi pada awal musim, kadang-kadang ia adalah normal."