Pep Guardiola sedang memikirkan untuk menandatangani pemain dalam jendela perpindahan Januari bagi merangsang skuad Manchester City yang berkelebihan 11 mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 'derby' 2-1 ke atas Manchester United di Old Trafford, Ahad lalu -- yang dicemari oleh perbalahan di dalam terowong pemain selepas perlawanan -- melebarkan jurang City berbanding pesaing mereka.

City mengungguli 14 perlawanan liga berturut-turut, menetapkan rekod baru bagi kemenangan berterusan dalam satu musim, walaupun tanpa Benjamin Mendy, John Stones dan Vincent Kompany yang ditimpa masalah kecederaan.

Dengan kekurangan pilihan pertahanan sekalipun berbelanja besar dalam jendela perpindahan sebelum ini, Guardiola bersedia membawa lebih ramai pemain baru pada bulan depan.

"Kami memikirkannya," Guardiola memberitahu wartawan menjelang aksi menentang Swansea City, awal pagi nanti.

"Di bahagian pertahanan, kami kekurangan pemain bagi mengendalikan semua pertandingan yang kami hadapi.

"Pengarah Bola Sepak (Txiki Begiristain) akan melihat apa yang kami perlu lakukan pada Januari."

Kecederaan yang menimpa Stones dan Kompany membuka pintu untuk Eliaquim Mangala kembali dalam perancangan Guardiola, dengan pemain tengah itu dipinjam keluar ke Valencia musim lalu.

Mangala diperkenalkan sebagai pemain gantian pada babak kedua di Old Trafford dan Guardiola percaya kekuatan fizikal pemain antarabangsa Perancis itu akan menjadi aset walaupun dia sebelum ini hampir meninggalkan kelab itu.

"Mengapa saya tidak meletakkan Mangala pada separuh masa pertama adalah kerana saya ingin menghantar mesej kepada para pemain bahawa kami mahu memenangi perlawanan itu," katanya.

"Saya mahu perkemas untuk menangani (Romelu) Lukaku dan tentu saja Nico (Otamendi) dan (Fernandinho) lebih kuat dalam tempoh itu.

"Selepas kami menjaringkan gol, saya fikir (Zlatan) Ibrahimovic akan hadir, jadi saya memutuskan untuk meletakkan Mangala kerana mahu lebih banyak kawalan di tengah," katanya lagi.