Guardiola akan beri keutamaan kepada UCL -- Xavi

Oleh Staff Writer 31 Disember 2019 294
Guardiola akan beri keutamaan kepada UCL -- Xavi
Xavi berpandangan pengurus Manchester City, Pep Guardiola, akan memberi keutamaan kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL) ketika Liverpool kini jauh mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL).

City meletakkan sasaran untuk menjuarai EPL buat kali ketiga berturut-turut di bawah kendalian Guardiola, bagaimanapun juara bertahan itu kini di tangga ketiga dan ketinggalan 14 mata di belakang Liverpool –- yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Ketika keraguan mula timbul terhadap masa depan Guardiola di Manchester, bekas bintang Barcelona, Xavi, percaya pengendali kelahiran Sepanyol itu akan mengutamakan saingan UCL menjelang pusingan 16 berdepan Real Madrid.

"Guardiola dilahirkan sebagai seorang pemenang," kata ketua jurulatih Al-Sadd, Xavi, yang beraksi di bawah kendalian Guardiola di Nou Camp, kepada The Mirror. "Ia amat mengecewakan buatnya ketinggalan kepada Liverpool dalam saingan liga -- dan beliau tidak akan berputus asa.

"Beliau juga akan berfikiran realistik. Jurangnya terlalu besar buat masa ini dan sukar untuk mereka untuk menjuarai EPL buat kali ketiga berturut-turut.

"Jadi, saya berasakan peluang yang lebih besar buat Guardiola adalah memberikan keutamaan kepada saingan UCL.

"Mereka bakal berdepan dua aksi penting berdepan Real -- mungkin ia adalah peluang untuk merehatkan pemain-pemain utama sebelum perlawanan tersebut."

Skuad kendalian Guardiola itu akan memulakan Tahun Baru dengan pertemuan menentang Everton di Stadium Etihad.



Editor: Ammar Hakim
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen