Penyerang Manchester United, Mason Greenwood, terdesak untuk membuktikan keupayaannya dalam Liga Perdana Inggeris selepas menandatangani kontrak selama empat tahun.

Pemain berusia 18 tahun itu menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan kelab itu minggu lalu dan memburu masa depan yang cerah di Old Trafford selepas mencuri tumpuan dalam musim pertamanya.

Greenwood menjaringkan gol dalam Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa dan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, kerap membahaskan mengenai keupayaan pemain muda itu.

Ditanya bagaimana dia akan membalas kepercayaan Solskjaer, Greenwood berkata dalam laman web rasmi pasukan: "Saya akan menunjukkan kepada semua orang kemampuan saya ketika diturunkan dalam setiap perlawanan.

"Saya akan mencuba yang terbaik dan memberikan segala-galanya buat pasukan.

"(Sasaran saya adalah) untuk membuktikan kepada semua orang mengenai apa yang saya mampu lakukan dan mengapa saya menandatangani kontrak -- kenapa saya di sini. Saya hanya mahu menunjukkan kepada semua orang," katanya.

Greenwood turut menjelaskan mengapa dia mengambil sepakan penalti dengan kaki kanan sedangkan dia sorang pemain kidal.

"Sebenarnya, ia berlaku sewaktu saya berada dalam skuad B-13.

"Saya gagal dengan menggunakan kaki kiri ketika menentang (Manchester) City dan bergelut sepanjang perlawanan itu. Selepas itu, saya hanya menggunakan kaki kanan. Ia berlaku sejak itu," tambahnya.

Greenwood turut mewakili skuad B-21 England tahun ini, namun dia hanya beraksi selama 87 minit dalam Liga Perdana Inggeris.

Manchester United terperosok di tangga ke-13 dengan hanya dipisahkan dua mata dengan zon penyingkiran.