Bekas penjaga gol England, Rob Green, mengumumkan persaraannya dari arena bola sepak pada usia 39 tahun.

Green sebahagian daripada skuad Chelsea ketika mereka menjuarai aksi final Liga Europa (UEL) berdepan Arsenal di Baku kelmarin.

Penjaga gol itu merupakan pilihan utama skuad England dalam saingan Piala Dunia 2010 tetapi diketepikan selepas melakukan tiga kesilapan ketika berdepan Amerika Syarikat dalam aksi pembukaan.

Green menyertai Chelsea secara percuma tahun lalu selepas meninggalkan Huddersfield Town tetapi tidak sempat melakukan penampilan kompetitif bersama The Blues.

"Selepas aksi yang cemerlang di Baku dan karier yang menakjubkan sepanjang 23 tahun, saya mengambil keputusan untuk mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional," katanya.

"Menjadi sebahagian daripada Chelsea untuk meraikan kejuaraan UEL adalah penamat indah perjalanan saya sebagai pemain bola sepak.

"Saya menikmati setiap saat sepanjang bergelar pemain. Saya telah berdepan beberapa barisan pemain terbaik dunia dan ia adalah pengalaman terindah buat saya.

"Terima kasih kepada semua penyokong daripada Norwich City, West Ham, QPR, Leeds United, Huddersfield Town dan Chelsea.

"Mewakili England turut merupakan salah satu daripada pencapaian yang membanggakan bagi saya," ujarnya.