ENGLAND 3 REPUBLIK IRELAND 0


Gareth Southgate menghamburkan pujian terhadap pasukan mentah England selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Republik Ireland dalam perlawanan persahabatan.


Menjelang ujian getir menentang Belgium dan Iceland dalam kempen Liga Negara-Negara (UNL), pengurus Three Lions itu mengetepikan kelibat Jordan Henderson, Raheem Sterling dan Harry Kane dalam aksi di Wembley, awal pagi tadi.

Southgate sebaliknya mempertaruhkan pasukan muda dengan penjaga gol, Nick Pope, muncul sebagai pemain tertua pada usia 28 tahun, sementara Jude Bellingham dimasukkan sebagai gantian untuk muncul pemain termuda ketiga England yang melakukannya selepas Theo Walcott dan Wayne Rooney.

Dia melihat satu persembahan yang mengagumkan daripada barisan kedua yang tampil dengan aksi meyakinkan.

Southgate memberitahu ITV: "Saya sangat gembira dengan corak permainan anak buah saya.

"(Dengan mengetengahkan) ramai pemain muda, tidak begitu berpengalaman, kami masih mampu mengatur perlawanan sangat baik, menciptakan banyak peluang dan boleh berada di kedudukan yang lebih selesa sekiranya kami memanfaatkan beberapa peluang itu. Tetapi secara keseluruhannya, saya sangat gembira.

"Saya fikir kami agak lembab pada awal permainan tetapi situasi itu boleh difahami, kami tidak yang mempunyai banyak masa untuk berlatih.

"Semakin lama perlawanan berlanjutan, bahagian penyerang nombor 10 dan pertahanan sayap kami mula menjadi sangat bagus terutama di sebelah kiri ini yang menampilkan Bukayo (Saka), Jack (Grealish) dan Mason Mount. Oleh itu saya berasa sangat gembira. "





Grealish mengukuhkan reputasinya selepas persembahan sulungnya bersama England dengan mencipta satu lagi bantuan gol, sekali gus telah mengumpul lima gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 11 penampilan bersama kelab dan negara musim ini.

Bintang Aston Villa itu menyempurnakan 89.7 peratus daripada 39 hantaran dengan 36 daripadanya berlaku di kawasan lawan selain 17 sentuhan melibatkannya dengan Mount.

Harry Maguire dan Jadon Sancho meledak gol dalam separuh masa pertama sementara sepakan penalti daripada Dominic Calvert-Lewin menyempurnakan aksi garang itu selepas rehat.

Lantas, pemain berusia 25 tahun itu di samping Mount dijangka akan kekal membentuk bahagian tengah Three Lions tetapi biarpun menggunakan khidmat kedua-dua tonggak tersebut, Southgate tetapi menolak anggapan berkenaan.

Dia menambahkan: "Terdapat ramai pemain lain lagi dalam skuad ini, jadi kami mempunyai persaingan yang hebat untuk merebut tempat.

"Anda dapat melihat mereka menggalas peranan yang berbeza hari ini, mereka berdua mampu memainkan beberapa peranan yang berbeza tetapi saya senang dengan cara kami menggerakkan bola."