Demarai Gray telah bersetuju dengan perjanjian baru bersama Leicester City selepas menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun.

Pemain sayap berusia 21 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari The Foxes beberapa kali pada tahun lalu selepas jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan Tottenham Hotspur dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dalam tempoh dua tahun, Gray hanya tampil dalam kesebelasan utama sebanyak 12 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Riyad Mahrez dan Marc Albrighton sentiasa menjadi pilihan Claudio Ranieri dan Craig Shakespeare.

Bagaimanapun, situasi berubah apabila bekas pemain Birmingham City itu beraksi sebagai pemain utama dan menjaringkan gol ketika menewaskan Everton 2-0, Ahad lalu sehingga membolehkannya dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan selepas mendapat kepercayaan daripada pengendali baru, Claude Puel.

"Saya sangat gembira," kata Gray kepada laman web rasmi Leicester City.

"Kini saya hanya mahu memulakannya dan meneruskan apa yang sedang saya usahakan. Saya mahu bermain dengan lebih kerap dan perlu bekerja keras ketika sesi latihan.

"Secara keseluruhan, kami adalah sekumpulan pemain yang hebat dan mempunyai suasana yang begitu bagus dalam bilik persalinan.

"Secara peribadi, kini segala-galanya tentang meningkatkan diri sebagai pemain dan segala-galanya akan menjadi lancar," tambahnya.