WATFORD 3 HUDDERSFIELD TOWN 0

Watford mempunyai pilihan terbaik dalam soal pemain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil Will Hughes layak menerima panggilan England, kata pengurus, Javi Gracia.


Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Huddersfield Town di Vicarage Road awal pagi tadi melonjakkan skuad kendalian Gracia itu dua mata menghampiri saingan empat pasukan teratas EPL.

Roberto Pereyra, Gerard Deulofeu dan Isaac Success menemui sasaran untuk Watford mengumpul tiga mata yang menyusuli kemenangan 2-0 di Wolves, hujung minggu lalu.

Sungguhpun Gracia tidak akan terbawa-bawa dengan persembahan memberangsangkan pasukannya, pengurus berbangsa Sepanyol itu berasakan pilihan pemainnya boleh dibandingkan dengan kelab EPL yang lain.

"Bagi saya, Watford memiliki pilihan pemain yang terbaik dalam EPL," katanya dalam sidang akhbar ketika diminta menilai pilihan bakat yang ada dalam skuadnya.

"Musim ini masih panjang dan saya lebih suka menikmati setiap perlawanan. Saya sering meletakkan tuntutan tinggi.

"Saya fikir cara terbaik untuk mencapai masa depan yang baik ialah dengan memberi tumpuan pada masa kini dan melakukan yang terbaik pada masa ini. Ia diterapkan dalam mentaliti kami untuk cuba memenangi semua perlawanan.

"Saya tidak meluangkan banyak masa untuk melihat perjalanan jadual ketika ini atau jika kami mencapai rekod baru, saya lebih suka meraihnya pada hari ini.

"Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan esok kami akan bercakap tentang itu selain cuba memperbaiki perkara ini demi meningkatkan tahap pasukan.

"Saya tidak fikir kami akan muncul juara, saya tidak fikir begitu tetapi kami akan cuba untuk menikmati setiap perlawanan dan cuba menjadikan penyokong kami untuk menikmatinya bersama-sama kami supaya mereka bangga dengan corak yang kami tampilkan.

"Kami akan lihat apa yang boleh dilakukan tetapi dalam setiap aksi, kami akan berusaha keras untuk mendapatkan hasil terbaik," katanya.

Hughes sekali lagi menyinar sehingga mendorong peminat Watford untuk menyanyikan lagu yang ditujukan khas buat pemain tengah berusia 23 tahun itu agar tersenarai dalam skuad England bimbingan Gareth Southgate yang seterusnya.

Gracia lantas bersetuju pengiktirafan antarabangsa itu akan berlaku dalam masa terdekat.

"Jika anda bertanyakan pendapat saya, saya juga menghormati keputusan pasukan kebangsaan dan saya boleh katakan bahawa kami bersedia untuk menyokong mereka," kata Gracia. "Apabila mereka mahukan Will Hughes, kami akan bersedia (melepaskannya).

"Dia bermain baik di peringkat tinggi tetapi keputusan pemilihan pemain kebangsaan bukan terletak di tangan saya. Ia bukan tanggungjawab saya tetapi jika anda bertanya kepada saya, maka kesemua pemain saya berhak bermain dengan pasukan kebangsaan masing-masing."

Huddersfield tercorot dalam EPL selepas kekalahan kelima dalam enam perlawanan dan David Wagner tidak mempunyai sebarang rungutan terhadap kekalahan terbaru itu.

"Kami bermula dengan baik dan mencipta tiga peluang yang baik tetapi kami harus jujur -​​- prestasi pertahanan kami tidak cukup baik pada hari ini," kata pengurus Huddersfield itu kepada pemberita.

"Oleh itu, ia adalah kekalahan yang jelas.

"Untuk gol pertama, kami sangat naif, kami tidak meletakkan cukup pemain di dalam kawasan penalti, pemain tidak membantu barisan pertahanan ketika dibolosi gol kedua. Penjaga gol terdedah dalam situasi satu lawan satu, jadi rakan sepasukan perlulah membantunya.

"Sepanjang masa, saya telah berpesan bahawa kami perlu terus beraksi di tahap tinggi dan barisan pertahanan kami tidak melakukannya hari ini.

"Kami mempunyai masa yang lama untuk persediaan perlawanan seterusnya, jadi setiap pemain mempunyai peluang untuk menambat hati saya dalam sesi latihan. Mereka perlu menunjukkan bahawa prestasi pertahanan seperti hari ini hanya berlaku sekali."