Pertahanan Liverpool, Joe Gomez, percaya kekuatan keseluruhan skuad Liverpool akan membantu pasukannya melepasi tempoh sukar bagi membolehkan mereka mencabar kejuaraan.

Naby Keita, Xherdan Shaqiri, Fabinho dan Alisson masing-masing tiba di Anfield musim panas lalu bagi membaik pulih finalis Liga Juara-Juara Eropah 2017/18 itu.

Ganjaran awal yang diterima adalah 12 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi Gomez lebih khuatir tentang jadual akan datang.

Liverpool akan berdepan 10 aksi yang mampu menentukan sejauh mana kemampuan mereka untuk merampas kejuaraan liga daripada Manchester City.

"Musim sebelum ini, saya rasa tempoh itu menerangkan tentang musim kami," kata Gomez.

"Jadi, kami tahu ia sangat penting dan akan ada banyak perlawanan dalam tempoh yang pendek tetapi kami bersedia.

"Semua pasukan dalam liga berdepan tugasan sama dan kami akan cuba bersedia untuk mendapatkan sebanyak mata yang boleh.

"Ada banyak perlawanan, terutama ketika perayaan Krismas dan Tahun Baru berbekalkan beberapa hari rehat tetapi saya rasa tahun ini kami mempunyai skuad yang kukuh, lebih berkemampuan dan ia memuatkan segalanya lebih mudah berbanding sebelum ini."

Dalam masa sama, rakan sepasukan Gomez, Trent Alexander-Arnold, memberikan kata-kata semangat buat Liverpool menjelang aksi berdepan pasukan tangga ketujuh, Watford.

"Kelab membawa masuk pemain berkualiti. Kini skuad menjadi lebih besar dan terdapat pemain bertaraf dunia di serata padang," ujar Alexander-Arnold.

"Setakat ini, kami melalui penggiliran yang baik.

"Bukan hanya 11 pemain yang akan berjaya tetapi keseluruhan, iaitu 20 atau 25 orang, yang perlu memainkan peranan mengekalkan rentak."