Watford mengumumkan penjaga gol veteran, Huerelho Gomes, telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Gomes memberi bayangan untuk bersara di penghujung musim 2018-19 tetapi pengendali pasukan, Javi Garcia, menegaskan dia mahu pemain berusia 38 tahun itu kekal.

Dan Watford mengesahkan bahawa pemain dari Brazil itu bakal memasuki musim keenam di Vicarage Road.

Gomes bertindak selaku penjaga gol simpanan di belakang Ben Forster tetapi tampil dalam semua laluan The Hornet ke final Piala FA musim lalu.

Dia melepaskan enam gol di Wembley tatkala Manchester City melengkapkan kejuaraan ketiga domestik walaupun dia tampil cemerlang dalam aksi tersebut.

"Saya tidak boleh katakan tidak untuk kelab ini," katanya menerusi laman Instagram.

"Tidak sabar untuk cabaran musim depan."

Watford masih belum mendapatkan mana-mana pemain baru menjelang saingan 2019-20, di mana mereka bakal memulakan saingan menentang Brighton and Hove Albion di laman sendiri pada 10 Ogos depan.