Jose Mourinho berkata Tanguy Ndombele merupakan bukti prima bahawa "pintunya sentiasa terbuka" untuk pemain kembali bangkit selepas tonggak tengah itu menghasilkan jaringan gemilang ketika Tottenham menewaskan Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Ndombele melalui musim pertama yang amat mengecewakan di kelab London itu selepas menyertainya dengan yuran perpindahan besar daripada Lyon -- hanya menjaringkan dua gol dan menghasilkan empat bantuan sepanjang 29 penampilan musim lalu.

Pemain tengah Perancis itu telah membuktikan kemampuannya dalam kempen kali ini dengan menemui sasaran sebanyak empat kali selain membantu tiga jaringan dalam kesemua kejohanan buat Tottenham.

Ndombele mencipta momen magisnya dengan melakukan lambungan bijak bagi menjaringkan gol EPL ketiganya musim ini -- rekod terbaiknya dalam mana-mana kempen liga -- dalam kemenangan 3-1 d Bramall Lane, di mana Serge Aurier dan Harry Kane turut mencatatkan nama selaku penjaring.

Ndombele turut melakukan 38 hantaran di dalam kawasan The Blades, lebih banyak berbanding mana-mana rakan sepasukannya dan hanya tersasar sembilan daripada 78 hantaran yang dilakukannya dalam perlawanan itu. Dia juga memenangi 75 peratus pertembungan udara selain melakukan tiga pintasan bagi menggambarkan keseluruhan prestasinya.

Dele Alli dan Harry Winks tidak berada dalam skuad menentang pasukan tercorot itu manakala Gareth Bale pula hanya sekadar memanaskan bangku pemain tetapi pengurus Tottenham, Mourinho, berkata bahawa Ndombele adalah bukti di mana pemain yang tidak dipilih masih berpeluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya sudah menjadi jurulatih selama bertahun-tahun, mempunyai ramai pemain dan saya mempunyai banyak pengalaman untuk berkata dan menentukan apabila pemain tidak bermain dengan cukup bagus, ia tanggungjawab merek,a dan apabila pemain mengubah perkara itu dan membawa prestasinya ke tahap yang amat tinggi, ia juga tanggungjawab mereka," kata Mourinho.

"Ia satu contoh terbaik bahawa bersama saya, pintu itu sentiasa terbuka. Pintu pasukan ini sentiasa terbuka, apabila pemain tidak dapat bermain, mereka perlu mencuba untuk memahami mengapa sebabnya dan mencuba untuk faham bagaimana mereka boleh melalui pintu itu. Dia memahaminya, dia memahaminya.

"Jaringannya amat luar biasa tetapi saya tidak kisah mengenai jaringan itu, saya kisah mengenai prestasinya dan prestasinya amat hebat dan saya amat gembira apabila dia dapat mencapai tahap itu. Dia bermain dengan amat-amat baik," katanya.

Spurs kini tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan dan hanya dibezakan empat mata di belakang pendahulu EPL, Menchester United, yang terikat 0-0 dengan Liverpool di Anfield dalam satu lagi perlawanan.