NEWCASTLE UNITED 0 ARSENAL 1

Pierre-Emerick Aubameyang melengkapkan penampilan ke-50 dalam Liga Perdana Inggeris dengan menyumbat gol kemenangan buat Arsenal sewaktu menewaskan Newcastle United 1-0 di St James Park, sebentar tadi.


Pengurus Arsenal, Unai Emery, menaruh kepercayaan buat penjaring terbanyak musim lalu itu sambil meletakkan Alexandre Lacazette serta pemain baru, Nicolas Pepe, di bangku simpanan dan ia berbaloi selepas 13 minit babak kedua bersambung apabila Aubameyang meletakkan pasukannya di depan.

Pengendali Newcastle, Steve Bruce, melihat perubahan dalam pasukannya yang memberikan saingan buat lawan kecuali kesilapan daripada pemain pinjaman, Jetro Willems, sehingga membolehkan pelawat meraih peluang yang tidak disempurnakan.

Joelinton dan pemain yang dibawa masuk selaku pemain gantian, Allan Saint-Maximin, melalui penampilan pertama yang baik buat The Magpies tetapi apabila Emery membawa masuk pemain pinjaman daripada Real Madrid, Dani Ceballos, dalam babak kedua, jurang jelas dilihat daripada segi kualiti.

Persembahan pemain muda The Gunners, iaitu Joe Willock, Reiss Nelson dan Ainsley Maitland-Niles, jelas mengagumkan Emery -- yang pasti berpuas hati dengan pertahanan pasukannya yang sebelum ini menjadi kelemahan utama -- tatkala dia menikmati aksi yang selesa di St James Park.

Tatkala Jonjo Shelvey dan Fabian Schar memperkuatkan skuad kendalian Bruce itu, Javier Manquillo dan Matt Ritchie menjadikan tuan rumah lebih tersusun dan ia terbukti apabila hantaran lintang yang dilakukan menemui Joelinton tetapi penggempur dari Brazil itu melepaskan percubaan liar.

Shelvey menggegarkan tiang gol menerusi rembatan dari tengah kotak penalti sebelum anak buah Emery itu mula mempamerkan peningkatan menerusi usaha Henrik Mkhitaryan yang melewati palang gol dari jarak 12 ela.

Joelinton sekali lagi hampir mencipta jaringan, masuk ke dalam kotak penalti dan menguji Bernd Leno menerusi rembatan kencang sebelum Aubameyang mengutip bola lambungan Mkhitaryan dan usahanya diselamatkan oleh Martin Dubravka.

Teknik hantaran serta usaha Granit Xhaka membolehkan Aubameyang meriah peluang di awal babak kedua tetapi Dubravka sekali lagi menafikannya.

Bruce membawa masuk pemain pinjaman daripada Eintracht Frankfurt, Willems, bagi menggantikan Shelvey tetapi tidak lama kemudian, dia gagal mengawal bola hantaran Schar sebelum melepaskannya buat Maitland-Niles yang melakukan hantaran ke sebelah kanan dan mudah disempurnakan Aubameyang, membuatkan Dubravka tertewas.

Kemasukan Saint-Maximin dan Pepe memberikan keterujaan buat penonton dan bekas pemain Nice itu memperoleh ruang untuk melepaskan rembatan rendah ketika aksi berbaki tujuh minit, namun Leno merebahkan badan untuk memastikan tiga mata menjadi milik pelawat.