LEEDS UNITED 3 TOTTENHAM 1

Jaringan ke-15 Patrick Bamford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini membantu Leeds United merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Tottenham dan hampir pasti meranapkan harapan lawan mereka itu untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Dalam perlawanan di Yorkshire Barat sebentar tadi, Leeds memberikan gambaran awal mengenai kemusnahan yang bakal dihadapi Spurs apabila memperoleh jaringan pendahuluan menerusi gol kelapan Stuart Dallas musim ini.

Son Heung-min menyamakan kedudukan dan jaringan Harry Kane kemudian dibatalkan kerana ofsaid sebelum Bamford sekali lagi membuktikan betapa dia selayaknya membarisi skuad kebangsaan England kendalian Gareth Southgate menjelang Euro 2020.

Kane melakukan percubaan yang terkena palang menerusi sepakan percumanya pada 20 minit terakhir di Elland Road tetapi dalam keadaan terdesak, Tottenham dibolosi satu gol lagi daripada Rodrigo untuk menambahkan lagi keperitanyang dialami pasukan bimbingan Ryan Mason itu.

Penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, melakukan aksi menyelamat gemilang untuk menafikan percubaan awal Bamford susulan lorongan Jack Harrison pada minit ketujuh.

Lloris sekali lagi bertindak tangkas apabila menyelamatkan hantaran lintang Harrison yang hampir terjaring ke gawang sendiri oleh Sergio Reguilon tetapi kesempatan susulan itu tidak disia-siakan Dallas untuk menjaringkan gol pembukaan tuan rumah.

Spurs, dengan rangkaian empat penyerangnya, segera memberikan respons selepas jaringan itu.

Robin Koch menghadang percubaan Dele Alli susulan hantaran Son tetapi perkara sebaliknya berlaku selepas itu -- gara-gara pemain tengah itu lambat melakukan lorongan -- untuk pemain Korea Selatan berkenaan memperoleh golnya yang ke-17 musim ini.

Hanya kedudukan ofsaid memisahkan Kane daripada meletakkan Spurs di depan susulan hantaran Alli tetapi nasib jelas lebih memihak Leeds pada ketika Dallas memanfaatkan kerapuhan pertahanan Eric Dier dan Reguilon untuk melakukan gerakan licik sebelum Bamford menyudahkan hantaran lintang rendah Ezghan Alioski.

Pasukan Marcielo Bielsa itu ditekan hebat Spurs pada awal babak kedua dan melakukan pertukaran dengan Raphinha dibawa masuk menggantikan Tyler Roberts sebelum percubaan Mateusz Klich diselamatkan Lloris.

Di gawang bertentangan pula, Illan Meslier turut bertindak tangkas mengeluarkan bola daripada sepakan silang Serge Aurier yang terbias dan penjaga gol itu menghela nafas lega apabila sepakan percuma Kane pada minit ke-72 sekadar singgah di palang gol.

Meslier kemudian menggunakan kakinya untuk menafikan peluang Erik Lamela sebelum seorang lagi pemain gantian, Rodrigo, tenang menyudahkan hantaran Raphina bagi memastikan kemenangan Leeds.