Given tidak menyesal menolak lamaran Fergie

Oleh Fadzrie Hazis 1 Julai 2020 74
Given tidak menyesal menolak lamaran Fergie
“Saya masih tidak percaya kamu menolak tawaran ke United ketika berusia 16 tahun,” itulah kata bekas pengurus Manchester United Sir Alex Ferguson kepada bekas penjaga gol utama Republik Ireland, Shay Given.
 
Ferguson berkata demikian kepada Given ketika bertemu dengannya dalam satu perlawanan amal beberapa tahun lalu dan Given tidak menyangka bekas pengurus legenda itu masih mengingatinya.
 
“Memang saya tidak menjangka dia masih ingat peristiwa tersebut, ketika itu saya berada di Manchester untuk menjalani ujian pemilihan menyertai United.
 
“Bapa saya bertindak sebagai ejen saya dan menasihatkan saya memilih Glasgow Celtic berbanding United.
 
“Saya juga adalah peminat Celtic dan jika saya ke United, mungkin sukar untuk saya beraksi dalam skuad utama kerana ketika itu Peter Schmeichel adalah pilihan utama, “ kata Given dalam siaran terkini Man On The Street (MOTS) yang akan ke udara pada 2 Julai di saluran CH813 Astro Supersport jam 9 malam.
 
MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang perbagai topik.
 
 
Bagaimana pun Given hanya beraksi dengan skuad remaja dan simpanan di Celtic dari 1991 hingga 1994.
 
Given hanya mula mencuri tumpuan sebagai antara penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 1997 apabila menyertai Newcastle United.
 
Bekas penjaga gol berusia 44 tahun ini beraksi selama 12 musim di Newcastle dan menyifatkan Kenny Dalglish serta Bobby Robson sebagai pengurus terbaik yang pernah mengendalikannya.
 
“Dalglish membawa saya ke Newcastle ketika saya berusia 21 tahun dan dia terus menamakan saya sebagai penjaga gol utama pasukan.
 
“Ia satu penghormatan buat saya ketika itu kerana diberi kepercayaan pada usia yang muda.
 
“Ketika bermain untuk Robson pula, Newcastle sentiasa bersaing dengan kelompok atasan liga dan ia adalah tempoh yang baik buat mereka pada masa itu,” kata Given.
 
Mengulas mengenai perkhabaran kemungkinan Newcastle akan dibeli oleh sebuah konsortium dari Arab Saudi dalam masa terdekat, Given berasa jika ia berlaku ia akan menguatkan kedudukan kewangan pasukan.
 
Namun, Given berharp pemilik baru akan memberi peluang buat pengurus kini, Steve Bruce membentuk pasukan.
 
“Kadang-kala pemilik baru mahukan calon pilihan mereka sebagai pengurus, tetapi saya berharap mereka memberi masa buat Bruce membentuk pasukan.
 
“Namun, jika mereka mahukan pengurus baru saya berharap mereka akan menimbang kemungkinan mengambil Maurico Pochettino sebagai pengurus,” kata Given yang kagum dengan kemampuan Pochettino ketika mengendalikan Tottenham.
 
Seorang lagi pengurus masa kini yang dikagumi Given ialah pengurus Chelsea, Frank Lampard.
 
Given pernah bekerja dengan Lampard sebagai jurulatih penjaga gol ketika bekas pemain tengah England itu mengendalikan Derby County sebelum ini.
 
“Lampard sebagai pemain adalah seorang yang cukup komited dan merupakan salah seorang pemain tengah terbaik eranya.
 
“Ia sama kini sebagai pengurus, dia akan menjadi yang pertama di padang latihan dan yang terakhir meninggalkan latihan.
 
“Dulu dia antara pemain tengah terbaik dan dia akan menjadi antara pengurus terbaik di EPL.
 
“Bersama Derby, kami tewas di play-off dan hampir layak ke EPL, saya percaya Lampard mampu menyinar di Chelsea,” kata Given.
 

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen