Penyerang Chelsea, Olivier Giroud, mengakui berang dengan keputusan Maurizio Sarri menandatangani Gonzalo Higuain daripada memberikan tempat dalam kesebelasan utama kepadanya tetapi dia kekal komited kepada kelab.

Giroud hanya tampil tujuh kali sebagai penyerang utama di bawah pimpinan Sarri bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menjaringkan dua gol ketika Chelsea menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Sebaliknya, penyerang itu lebih kerap diturunkan dalam saingan Liga Europa apabila merakamkan 11 gol dalam 14 penampilan tetapi dia mendedahkan kehadiran Higuain, Januari lalu, membuatkan dirinya kurang senang.

Higuain hadir sebagai pemain pinjaman untuk memperkuat jentera serangan berbanding memberikan Giroud lebih masa beraksi.

Penyerang itu meledak lima gol dalam 14 penampilan EPL ketika Giroud bercakap kepada Sarri bagi mencari sebab khidmatnya tidak diendahkan.

"Benar, saya telah berjumpa Sarri ketika saya tidak memahami pilihannya," kata Giroud.

"Sarri memberikan penjelasan tetapi ia merupakan bulan Januari yang mengecewakan saya.

"Seperti biasa, saya cuba untuk kekal fokus dan membuktikan saya mampu beraksi," ujarnya.

Giroud, yang menandatangani kontrak lanjutan bulan lalu pada ketika Chelsea kini dalam situasi tidak dapat menandatangani pemain baru ekoran digantung untuk melakukan perpindahan, kekal optimis dengan peluangnya untuk beraksi bagi musim depan.

"Saya memiliki sekurang-kurangnya satu tahun lagi di England dan peluang untuk saya beraksi masih ada.

"Saya tidak diberikan banyak watu beraksi tetapi saya cuba untuk bertindak secara berkesan setiap kali diberikan peluang untuk turun ke padang.

"Kami menjuarai gelaran musim ini. Ia adalah pemangkin kepada setiap pemain untuk mencabar saingan EPL musim depan," katanya lagi.