Giggs minat kemudi Wales 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2017 286
 Giggs minat kemudi Wales 
Legenda Manchester United, Ryan Giggs, mengesahkan minatnya untuk menggantikan Chris Coleman sebagai jurulatih Wales.

Wales sedang mencari pengendali baru berikutan peletakan jawatan Coleman pada bulan lalu dan bekas pemain antarabangsa itu telah menawarkan dirinya.

Giggs pernah mengemudi United sebanyak empat perlawanan pada 2014 berikutan pemecatan David Moyes, malah beliau juga bertindak sebagai pembantu kepada Louis van Gaal sehingga akhir musim 2016.

Pengurus berusia 44 tahun itu, yang pernah mewakili Wales sebanyak  64 kali, masih mencari jawatan pengurus tetap dan sering dikaitkan dengan tugasan di kelab, namun dia tertarik dengan kekosongan jawatan Wales.

"Sudah tentu saya berminat," kata Giggs kepada Sky Sports News.

"Saya bermain untuk Wales, saya telah mengatakan bahawa saya mahu kembali ke bidang kejurulatihan dan jelas ia merupakan satu daripada pekerjaan utama.

"Saya bermain untuk United, saya bermain untuk Wales, itu adalah dua pekerjaan.

"Saya belum berbincang dengan sesiapa lagi tetapi saya pasti berminat."

Wales layak ke Euro 2016 apabila mara ke separuh akhir setelah gagal ke sebarang pusingan akhir kejohanan utama sejak 1958.

Bagaimanapun, Wales terlepas slot Piala Dunia 2018 di Russia yang menyaksikan Coleman menyertai Sunderland.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen