Daniel James perlu menjadi diri sendiri dan menikmati cabaran jika mahu berjaya bersama Manchester United, kata pengurus Wales, Ryan Giggs.

Semalam, United mengesahkan persetujuan telah dicapai bersama Swansea City untuk menandatangani pemain berusia 21 tahun itu tatkala James menjalani ujian perubatan bagi melengkapkan perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP18 juta (RM95 juta).

James baru sahaja menikmati saingan bola sepak senior selama semusim tetapi dia menarik perhatian menerusi persembahan bersama Swansea dan Wales.

Legenda United, Giggs, percaya perpindahan itu menguntungkan semua pihak sambil pemain sayap itu dijangka mencabar skuad utama musim depan.

"Saya tahu peminat United akan berada di belakangnya dan menikmati permainan James. Saya rasa ia hebat untuk semua. Ia juga perpindahan bagus buat Swansea," katanya.

"Ia adalah kelab terbesar di dunia, jadi pesanan saya adalah nikmati cabaran, usah menjadi diri orang lain dan anda akan sentiasa baik."

Giggs menyenaraikan James -- yang baru kehilangan ayahnya, Kevan, bulan lalu -- dalam skuad Wales menjelang aksi kelayakan Euro 2020 menentang Croatia dan Hungary.

"James baik-baik sahaja. Dia berlatih dengan bagus dan merupakan seorang pemain yang meningkat," bekas pemain sayap United itu.

"Jelas sekali selepas berita menyedihkan mengenai ayahnya, kami perlu berbincang segala perkara dalam perjanjian.

"Dia pulang ke rumah kelmarin tetapi kini dalam keadaan baik. Dia meyakinkan saya bahawa dia telah bersedia untuk beraksi."