Gerrard: Henderson berhak nikmati apa yang diraih

Oleh Nafis Abdullah 17 April 2020 142
Gerrard: Henderson berhak nikmati apa yang diraih
Steven Gerrard memuji peranan Jordan Henderson terhadap tabung amal yang diwujudkan untuk bantuan kesihatan di Great Britain ketika wabak coronavirus.

Kapten Liverpool, Henderson, menerima pujian ramai selepas mengetuai gerakan untuk melancarkan kempen #PlayersTogether yang menyaksikan pemain daripada Liga Perdana Inggeris memberikan sumbangan kepada tabung Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Kewibawaan yang ditunjukkan Henderson di atas padang jelas dilihat sejak menggantikan Gerrard selaku kapten pada 2015 serta ketika saingan liga ditangguhkan akibat coronavirus.

Gerrard -- yang beraksi bersama Henderson selama empat musim -- memuji pemain berusia 29 tahun itu berkembang dengan baik dalam tempoh di Anfield.

"Saya masih ingat dia seorang yang pemalu sewaktu tiba daripada Sunderland dan keluarganya meminta untuk memantau tingkah lakunya," kata Gerrard.

"Dia tidak mementingkan diri di dalam dan di luar padang. Dia sentiasa mengidamkan untuk bermain kerana tenaga yang dimiliki. Saya sentiasa memuji semangatnya kerana menghargai sumbangan yang diberikan kepada pasukan.

"Saya fikir dia menjadi pemain yang semakin bagus dan secara individu, dia telah melakukan sesuatu yang membuktikan nilai tanggungjawab dalam diri seseorang.

"Dia seorang lelaki hebat dan menjadi pemain tengah yang sensasi. Semua perkara yang diraih dalam permainan adalah sesuatu yang berhak dimiliki. Dia menjadi contoh kepada ramai anak muda."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen