WATFORD 0 TOTTENHAM HOTSPUR 0

Troy Deeney sekadar menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan tatkala Tottenham
Hotspur meneruskan catatan tanpa kemenangan kepada empat perlawanan apabila diikat
Watford 0-0 di Vicarage Road sebentar tadi.


Spurs kendalian Jose Mourinho itu mengalami penurunan prestasi sejak beberapa minggu lalu
dan kini hanya meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir susulan aksi
garang yang ditampilkan lawan bimbingan Nigel Pearson itu.

Ketika Christian Eriksen hanya dibawa masuk pada minit ke-73 di tengah-tengah spekulasi
perpindahannya ke Inter Milan semakin hangat dan pemain pinjaman baru, Gedson Fernandes,
memanaskan bangku simpanan sehingga minit ke-80, Spurs jelas ketandusan idea dan
merindui aksi penyerang yang mengalami kecederaan, Harry Kane.

Bagaimanapun, mereka hampir meraih jaringan kemenangan dalam waktu kecederaan tetapi
dinafikan oleh teknologi garisan gol selepas Ignacio Pussetto sempat mengeluarkan bola
percubaan Erik Lamela.

Peluang terbaik Watford hadir apabila bola terkena tangan Jan Vertonghen di dalam kotak
penalti tetapi sepakan penalti Deeney dinafikan oleh kecemerlangan Gazzaniga.

Spurs kini naik ke tangga ketujuh, dibezakan lapan mata dengan kelompok empat teratas
sambil Watford -- yang tidak tewas dalam enam aksi liga -- berada di tangga ke-16, dua
mata daripada zon penyingkiran tatkala kebangkitan mereka diteruskan di bawah kendalian
Pearson.

Mourinho tampak berpuas hati dengan prestasi barisan pertahanannya dalam babak pertama
selepas hanya sekali tidak dibolosi sejak dia mengendalikan Spurs, November lalu.

Bagaimanapun, ketumpulan barisan depan menjadi kerisauan pengendali dari Portugal itu
tatkala Lucas Moura muncul pemain tunggal yang menghadirkan ancaman tetapi usaha
pemain Brazil itu hasil gerakan dengan Dele Alli dinafikan Ben Foster.

Watford jelas lebih garang selepas rehat tetapi Abdoulaye Doucoure dan Ismaila Sarr
mensia-siakan peluang jarak dekat selepas percubaan Deeney jauh tersasar.

Sepakan lencong Son Heung-min memberikan harapan buat Spurs pada minit ke-70 selepas
meraih peluang susulan kegagalan Deeney menyempurnakan peluang dari jarak 12 ela.

Vertonghen menyekat rembatan Gerard Deulofeu dengan tangan dan pengadil, Michael Oliver,
pantas menunjukkan isyarat sepakan penalti, hanya untuk membolehkan Gazzaniga
merebahkan badan ke sebelah kanan untuk menafikan tendangan Deeney.

Lamela tampak bakal memberikan tiga mata buat Spurs apabila menyempurnakan hantaran
lintang rendah daripada Serge Aurier tetapi pemain yang meraih penampilan pertama,
Pussetto, mengeluarkan bola sebelum ia melepasi garisan gol untuk mencetuskan satu lagi
kekecewaan buat Spurs dalam usaha merebut slot Liga Juara-Juara Eropah.



Editor: Nafis Abdullah