Ketika ini masih tiada kata putus tarikh saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali bermula selepas ia ditangguhkan sejak Mac lalu kedana pendemik Covid-19.

Kerajaan United Kingdom baru-baru ini memberi kebenaran untuk saingan EPL disambung semula bermula 1 Jun tanpa kehadiran penyokong.

Bagaimana pun projek 'Restart' mendapat reaksi berbeza daripada beberapa pasukan EPL dan bagi yang bersetuju, mereka menyambut baik garis panduan yang ditetapkan kerajaan United Kingdom.

Di kalangan pemain EPL, ada yang tidak setuju saingan bermula semula dan pemain Newcastle United yang dipinjam dari Tottenham Hotspur, Danny Rose antara yang tidak setuju saingan dimulakan semula.

Kerisauan Rose adalah mengenai keselamatan pemain jika saingan EPL dimulakan semula, walaupun tanpa penonton.

Bagi pertahanan Crystal Palace Gary Cahill pula, dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada saingan EPL akan dimulakan semula atau tidak.

“Sudah pasti sebagai pemain saya mahu segera beraksi kembali di atas padang.

“ Tetapi apa yang berlaku kini di seluruh dunia adalah di luar kawalan dan kita harus menghormati situasi yang berlaku kini dan ada perkara yang lebih besar daripada bola sepak.

“Saya percaya keputusan yang tepat akan dibuat tidak lama lagi, jika EPL bersambung ia bagus tapi jika tidak, anda harus menghormati keputusan itu,” kata Cahill dalam siaran terbaru Adam Talks yang akan ke udara pada 17 Mei ini di saluran Astro Supersport CH813 pada 6.30 petang.

A new day, a new conversation! This time around, with @garyjcahill . Look out for it soon, via @stadium.astro

A post shared by Adam Carruthers (@adamcarruthers) on


Dalam pada itu, Cahill turut menamakan Eden Hazard sebagai antara pemain terbaik yang pernah beliau beraksi bersama dalam satu pasukan.

Cahil pernah bersama bintang Real Madrid itu dari 2012-2019 di Chelsea, yang menyaksikan kelab London itu meraih beberapa kejuaraan utama seperti EPL, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala Liga.

“Sepanjang karier profesional saya, saya berpeluang bermain dengan beberapa pemain hebat.

“Tetapi Hazard adalah pemain luar biasa bagi saya, dia cukup berbakat dan turut memiliki kemahiran individu yang tinggi.

“Dalam perlawanan, dia juga pemain yang sentiasa dihormati lawan kerana kemampuannya membantu kejayaan pasukan.

“Hazard juga seorang yang mudah didekati sebenarnya dan dia seorang rakan sepasukan yang baik,” kata Cahill.